Dua peniaga tidak mengaku terima rasuah

Mohd Faizal (kanan) dan Abas (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan kes rasuah pada Selasa.
Mohd Faizal (kanan) dan Abas (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan kes rasuah pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang penjual ikan dan seorang peniaga ayam perap mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas tuduhan menerima suapan RM30,000 kononnya untuk menutup kes rasuah seorang lelaki empat tahun lalu.

Mohd Faizal Ahmad Mazlan, 42, yang memakai kemeja biru, manakala Abas Yaacob, 46, berkemeja kuning membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bagi mencapai niat bersama secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan berkenaan daripada Yuslie Mohd Yusop melalui Azhar Arifin.

Suapan yang diterima itu sebagai satu dorongan kononnya untuk menutup kes rasuah terhadap lelaki tersebut yang masih lagi dalam siasatan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Pudu Hulu di sini pada jam 9.32 malam, 3 Februari 2017.

Atas tuduhan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nordiana Nor Azwa mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah itu adalah wajar, mengambil kira pertuduhan yang dibuat adalah serius dengan jumlah yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Faizal yang diwakili peguam, Normah Desa, manakala Abas oleh Evawani Farisyta Mohammad merayu agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan mempunyai tanggungan yang ramai selain diisytiharkan bankrap.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozina membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Mei depan sebagai sebutan semula kes.