PKPD di pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, bermula esok

Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak
Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit, Sarawak bermula esok hingga 26 Mei, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu hasil saringan dilakukan ke atas pekerja empangan itu.

"Sehingga kini, KKM merekodkan 243 kes positif Covid-19 dan jumlah ini naik mendadak.

"Melihat situasi ini, KKM mengesahkan masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan pembinaan Empangan Baleh kerana masih ramai pekerja yang belum disaring," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata,pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melakukan pengesanan awal kes serta mengelak penularan ke komuniti berdekatan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju meluaskan kawasan PKPD di enam rumah panjang dan sebuah sekolah di Sungai Duan, Bahagian Mukah, Sarawak bermula esok hingga 6 Mei.

Katanya, rumah panjang yang terlibat adalah Rumah Panjang Belayong; Rumah Panjang Tepi; Rumah Panjang Minggu; Rumah Panjang Rimong; Rumah Panjang Undun; Rumah Panjang Lindan; dan Sekolah Kebangsaan Sungai Duan.

"Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di sembilan Rumah Panjang yang dijadualkan tamat pada 6 Mei, namun KKM melaporkan terdapat 17 kes positif baharu direkodkan di rumah panjang lain terletak berhampiran dengan kawasan PKPD Sungai Duan dalam tempoh seminggu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di empat kawasan iaitu Kampung Melangkap Tomis, Kota Belud; pasar dan Perumahan Sim-Sim serta Kampung Sungai Obar Batu 7, Sandakan, Sabah; empat perkampungan di Temerloh; dan Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai, Pekan, Pahang ditamatkan esok.

"Bagi Kampung Melangkap Tomis, sebanyak 11 kes positif direkodkan daripada 167 yang disaring... terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Di pasar dan Perumahan Sim Sim sebanyak 108 kes positif Covid-19 direkodkan, manakala di Kampung Sungai Obar Batu 7, sebanyak 167 kes direkodkan...namun kes telah menurun dan semua kluster adalah terkawal manakala kes positif, kontak rapat diasingkan dan dipantau sehingga hari ke-14," katanya.

Ismail Sabri berkata, empat perkampungan di Temerloh pula melibatkan empat lokaliti iaitu Kampung Paya Pulai Tengah, Kampung Pulau Terap, Paya Pulai - Kampung Batu 4 dan Paya Pulai – Kampung Batu 5.

Beliau berkata, sebanyak 605 ujian saringan dijalankan di empat lokaliti itu dan secara kumulatifnya 28 kes positif COVID-19 direkodkan, bagaimanapun tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan dan kes terakhir dilaporkan adalah pada 20 April iaitu satu kes.

Katanya, di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai pula sebanyak 1,607 ujian saringan dijalankan dan secara kumulatifnya 17 kes positif direkodkan, serta tidak ada lagi sampel menunggu keputusan dan satu kes terakhir dilaporkan pada 14 April.

"Kesemua kawasan ditamatkan PKPD mengikut jadual, kecuali empat lokaliti di Pusat Komuniti Bersepadu Pulau Serai yang sepatutnya tamat pada 29 April, tetapi ditamatkan lebih awal," katanya.

Mengulas mengenai kes ingkar PKP, Ismail Sabri berkata, sebanyak 420 individu ditahan semalam dengan 388 dikompaun dan 32 lagi direman, dengan kesalahan tertinggi berkaitan aktiviti pusat hiburan 145 kes dan gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis 134 kes.

Pada masa sama, beliau berkata, 26 pendatang tanpa izin diberkas dan lapan kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng, selain sebanyak 264 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara. - Bernama