MV Tung Sung berjaya diapung, usaha cari 4 kru bermula esok

Laporan Sinar Harian pada 20 Julai lalu.
Laporan Sinar Harian pada 20 Julai lalu.
A
A
A

KUCHING - Proses mengapungkan kapal MV Tung Sung yang terbalik berdekatan perairan Sebuyau, kira-kira 103 kilometer dari sini, pada 19 Julai lepas berjaya sepenuhnya pada 2.30 petang tadi setelah empat hari usaha itu dilakukan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata susulan kejayaan itu, usaha mencari empat lagi mangsa yang hilang dan disyaki terperangkap di dalam kapal itu akan bermula esok.

"Kapal MV Tung Sung telah berjaya diterbalikkan semula dan telah ditarik ke posisi baharu, sekitar lapan batu nautika barat laut dari Sebuyau untuk memastikan keadaan kapal stabil sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) akan mengetuai operasi pencarian di atas kapal berkenaan.

Katanya, pangkalan hadapan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) di Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Sebuyau akan dibuka 8 pagi esok dan sebarang penemuan mayat akan dibawa ke jeti berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, kapal MV Tung Sung terbalik mengakibatkan seramai lapan kru berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun hilang dengan tiga daripadanya warga tempatan dari Sibu yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu dan Stimba Anak Chuit.

Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo serta seorang warga Indonesia, Lido Ali Purwanto.

Empat mayat dipercayai kru terbabit dijumpai nelayan tempatan pada 22 Julai lepas, namun identiti masih belum dikenal pasti. - Bernama