Belanjawan 2024: Sesi libat urus dengan kerajaan negeri bermula esok

Ahmad Maslan - Foto Bernama
Ahmad Maslan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sesi libat urus dengan kerajaan negeri bagi mengumpul input berhubung Belanjawan 2024 akan bermula dengan negeri Melaka, esok.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jelajah dan sesi dialog ke negeri-negeri telah disusun dan dijangka mengambil masa selama sebulan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa jelajah pergi ke negeri-negeri ini akan bermula esok di Melaka dengan dialog belanjawan dengan kerajaan negeri Melaka. Selepas itu, kita akan pergi ke negeri-negeri lain yang telah disusun jadualnya.

"Saya berharap rakyat dapat memberikan pandangan dan cadangan melalui portal di Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2024,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Melangkah Bersama Peniaga Wanita B40, di sini hari ini.

Belanjawan 2024 dijadualkan dibentang di Parlimen pada 13 Oktober ini.

Sementara itu, beliau yakin peruntukan dan bantuan untuk usahawan wanita dan belia akan meningkat dalam belanjawan tahun depan.

"Saya yakin dalam Belanjawan 2024, peruntukan untuk usahawan wanita tentunya akan diadakan dan akan dipertingkatkan lagi bagi membantu wanita di luar sana menjalankan perniagaan dan saya berpesan kepada mereka supaya mendalami ilmu dan maklumat tentang perniagaan.

"Dengan adanya ilmu dan maklumat tentang perniagaan, mereka tidak akan terjerumus ke dalam penipuan yang membawa kepada kerugian,” kata Ahli Parlimen Pontian itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: