Jabatan bomba tersenarai sebagai penerima TAPPN

Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota bomba yang sudah berkhidmat selama 30 tahun ketika majlis di Seremban pada Isnin.
Mohammad Hamdan (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota bomba yang sudah berkhidmat selama 30 tahun ketika majlis di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Lembaga Pengarah bagi Tabung Amanah Perwira Dan Pertahanan Negara (TAPPN) meluluskan permohonan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk dimasukkan sebagai salah satu penerima sumbangan daripada tabung tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebelum ini pihaknya membuat permohonan berkenaan memandangkan pasukan bomba dan penyelamat tidak tersenarai sebagai penerima.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan mana-mana anggota yang mengalami kecacatan kekal semasa bertugas atau kematian mendapat bantuan kebajikan daripada tabung terbabit.

"Ini susulan insiden kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan kejadian enam anggota bomba yang lemas semasa dalam tugas-tugas penyelamatan pada tahun 2018.

"Pasukan bomba juga merupakan salah satu badan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam. Kita akan melihat perincian perkara tersebut dengan lebih mendalam selepas ini bagaimana pampasan dan perlindungan yang layak kita perolehi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Pada majlis tersebut, seramai 56 penerima APC dan 19 orang menerima sijil perkhidmatan 30 tahun.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan, Hamdan Ali.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, kelulusan tersebut baru sahaja dipersetujui awal April ini dan setakat ini belum ada perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia akan memberi manfaat kepada lebih 14,000 anggota termasuk pegawai bomba di Malaysia.