KoPPIM tiada saham dalam Malakat Mall

malakat
malakat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) tidak mempunyai pegangan saham dalam Malakat Mall bagi mengelakkan 26,000 ahli koperasinya berdepan risiko kerugian.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, KoPPIM yang bernaung di bawah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebaliknya menerima hak royalti.

Katanya, menerusi perjanjian yang ditandatangani, KoPPIm melabur dalam Malakat Mall sebagai rakan kongsi.

"Sebagai rakan kongsi, KoPPIM akan menerima pendapatan dua peratus daripada setiap jualan di Malakat Mall.

"Inisiatif ini bagi menyelamatkan dana yang dilaburkan ahli koperasi. Pemberian hak royalti ini juga dibenarkan syarak," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas mengenai isu pemilikan saham KoPPIM dalam Malakat Mall," katanya selepas melancarkan pembukaan cawangan Malakat Grocer ketujuh di Alam Damai, Cheras di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, disebabkan itu nama KoPPIM tiada dalam pegangan saham Malakat Mall.

"Koperasi dapat hak royalti, jadi mereka tidak perlu menanggung risiko dan kos tetap yang tinggi," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai anggapan segelintir pihak bahawa Malakat Mall dimiliki oleh PPIM, Mohd Fadzil menyangkal dakwaan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dakwaan itu mungkin timbul kerana beliau dilihat rapat dengan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau popular dengan panggilan Toqqi selain KoPPIM sememangnya melabur dalam Malakat Mall.

Kata beliau, Malakat Mall yang dibuka di Cyberjaya tahun lalu dengan modal permulaan sebanyak RM20 juta dikeluarkan beliau sendiri dan tambahan RM15 juta daripada dana KoPPIM.

"Saya adalah pemilik Malakat Mall tetapi diberikan tanggungjawab untuk menguruskan KoPPIM dan menggunakannya sebagai platform penyatuan pengguna.

"Kita kumpulkan dana RM100 daripada ahli koperasi sebagai kekuatan dan melabur dalam industri strategik dan projek pertama adalah Malakat Mall," katanya.