MBI syor tubuh jawatankuasa selesai isu monopoli perniagaan ais

Rumaizi (empat dari kiri) menerima kertas cadangan daripada sebuah NGO yang hadir pada pertemuan bersama isu peniaga ais di Pasar Borong Ipoh.
Rumaizi (empat dari kiri) menerima kertas cadangan daripada sebuah NGO yang hadir pada pertemuan bersama isu peniaga ais di Pasar Borong Ipoh.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesyorkan satu jawatankuasa melibatkan persatuan-persatuan peniaga Pasar Borong Ipoh diwujudkan bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu monopoli perniagaan ais di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya perlu mendengar cadangan daripada kesemua peniaga termasuk berkaitan permintaan dan penawaran pembekalan ais di pasar itu sebelum satu keputusan dicapai.

"Aduan diterima pada 22 Februari lalu dan hasil siasatan mendapati Persatuan Pemborong Ikan Pasar Borong telah melantik seorang peniaga yang juga pemegang lesen ikan untuk menguruskan pembekalan kepada ahli-ahlinya sejak tujuh tahun lalu.

"Pihak MBI telah memberikan amaran lisan dan surat amaran kepadanya pada 20 April lalu agar menghentikan sebarang aktiviti berkaitan penjualan ais.

"Aktiviti itu dihentikan sejak tiga hari lalu dan sekiranya dikesan masih melakukan aktiviti sama, tindakan pembatalan lesen akan dilakukan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga di Dewan Mesyuarat MBI di sini pada Jumaat.

Hadir sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak menggesa MBI tegas dalam menangani isu peniaga ais tidak berlesen serta pekerja asing di Pasar Borong Ipoh.

Rumaizi berkata, MBI tidak pernah melaksanakan konsep monopoli dalam urusniaga ais kepada peniaga-peniaga di pasar itu.

Artikel Berkaitan:

"Hanya seorang peniaga merupakan pemegang lesen semasa perniagaan ais di pasar borong tersebut sejak 2019 hasil kelulusan pertukaran milik rakan kongsi sebelum ini.

"MBI pernah mendapat permohonan lesen perniagaan ais yang dibuat melalui persatuan 1 Mei 2017 namun, telah ditolak kerana tiada kekosongan tapak yang sesuai," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa tiada peniaga warga asing yang dibenarkan berniaga seperti didakwa NGO namun, tidak menolak ada dalam kalangan peniaga yang menggajikan warga asing secara tidak sah.

“Ada sesetengah peniaga mengambil pekerja pendatang asing warga Rohingya, kita akan merujuk perkara ini kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“MBI akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti perniagaan di Pasar Borong Ipoh berjalan mengikut peraturan yang telah kita tetapkan,” katanya.