Covid-19: 2,847 kes baharu, Selangor kembali melonjak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes harian Covid-19 kekal di atas paras 2,800 untuk dua hari berturut-turut, apabila 2,847 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kes 387,535.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan Selangor merekodkan kes baharu tertinggi dengan 748, diikuti Sarawak (717), Kelantan (476), Kuala Lumpur (302), Johor (130) dan Negeri Sembilan (105).

Sejumlah 89 kes direkodkan di Pulau Pinang, diikuti Sabah (82), Perak (45), Kedah (44), Melaka (42), Pahang (39), Putrajaya (14), Terengganu (11), Labuan (tiga) selain tiada kes baharu di Perlis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan 2,341 lagi kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 22,512.

Selain itu, beliau berkata, lapan kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan tujuh warganegara dan satu bukan warganegara berusia antara 30 hingga 85 tahun sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu kini 1,415.

"Sejumlah 260 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 125 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan lapan kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan iaitu Kluster Jalan Roban Lama dan Jalan Selirik di Sarawak, Kluster Jalan Sungai Daun (Pulau Pinang), Kluster Persiaran Sri Saujana (Johor) serta satu kluster pendidikan iaitu Mempaga Satu di Pahang.

Dua kluster komuniti yang dikesan adalah Gong Dermin di Kelantan dan Sri Desa di Pahang manakala kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!