Aksem patahkan cubaan seludup minum keras RM1.2 juta

Mohd Khairi menunjukkan barangan rampasan sebanyak 1,000 karton minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai yang dibawa masuk dari Langkawi di Jeti Laut, Kuala Kedah pada Rabu. - Foto Bernama
Mohd Khairi menunjukkan barangan rampasan sebanyak 1,000 karton minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai yang dibawa masuk dari Langkawi di Jeti Laut, Kuala Kedah pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) merampas sebanyak 1,000 karton minuman keras bernilai RM1.2 juta termasuk cukai yang dibawa masuk dari Langkawi di Jeti Jabatan Laut, Kuala Kedah di sini pada Rabu.

Komander Aksem Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintendan Mohd Khairi Abdullah berkata, kesemua minuman keras berkenaan ditemui di dalam dua buah lori dengan muatan besi buruk yang dibawa sebuah tongkang.

“Kedua-dua lori tiga tan tersebut dibawa menggunakan sebuah tongkang dari Langkawi dan kedua-dua lori itu dirampas sebaik tongkang berkenaan tiba di Jeti Jabatan Laut, Kuala Kedah kira-kira pukul 11 pagi.

“Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, suspek telah melonggokkan besi buruk di atas minuman keras sehinggakan lori berkenaan kelihatan sarat dengan muatan besi buruk,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Minuman keras berkenaan ditemui di dalam dua buah lori dengan muatan besi buruk yang dibawa sebuah tongkang. - Foto Bernama
Minuman keras berkenaan ditemui di dalam dua buah lori dengan muatan besi buruk yang dibawa sebuah tongkang. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, beliau berkata, rampasan itu adalah berdasarkan maklumat awam serta risikan dan taktik penyeludupan seperti itu adalah yang pertama dikesan pihaknya.

Mohd Khairi berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat berkaitan kes itu.

Katanya, kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: