Mayat lelaki ditemui tidak sempurna dipercayai dibaham buaya

LAHAD DATU - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tubuh badan tidak sempurna dipercayai dibaham buaya di kawasan anak sungai Kampung Tulibas Baru, di sini pada Jumaat.
Sebahagian tubuh Selesion Appang, 39, ditemukan penduduk kampung di dalam sungai kira-kira jam 3.06 petang, selepas mangsa dilaporkan hilang sejak keluar mencari lokan pada 23 September lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi penemuan topinya di kawasan muara sungai berhampiran pantai.
"Keadaan tubuh mangsa tidak sempurna dengan bahagian dari pinggang ke bawah serta sebelah tangan kanan tiada dan dipercayai dibaham buaya.
"Pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum menyerahkannya kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.32 pagi berhubung seorang lelaki dipercayai hilang di kawasan sungai.
"Mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada 23 September lalu untuk mencari lokan di sungai berhampiran, namun sehingga hari ini masih belum pulang dan gagal dihubungi.
"Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga menemukan topi mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai, manakala peralatan mencari lokan berupa pencakar turut ditemukan di dalam sungai," katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan bersama agensi penyelamat lain dengan pencarian di sepanjang tebing sungai dan permukaan air.
"Penduduk kampung turut membantu menggunakan bot persendirian bagi menjalankan pencarian di permukaan air sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 3.06 petang.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas tiada lagi bahaya dilaporkan di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
