Anggota polis dilanggar kereta ketika kawal lalu lintas rombongan Sultan Kelantan

TUMPAT - Seorang konstabel polis cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan tugas kawalan lalu lintas rombongan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk ke solat Jumaat di Palekbang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, kejadian membabitkan Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Tumpat yang berusia 22 tahun pada jam 1.25 petang.
“Anggota menutup laluan di persimpangan lampu isyarat Kepulau dari arah Morak ke Palekbang bagi memberi laluan kepada rombongan Sultan Muhammad V untuk menunaikan Solat Jumaat dan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-57.
“Sebuah Proton Saga yang dipandu wanita Melayu tempatan berusia 55 tahun dari arah Morak bagaimanapun dipercayai gagal menyedari kehadiran anggota polis itu lalu terlanggar anggota tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Khairi berkata, akibat kejadian itu, anggota berkenaan terjatuh di lokasi dan mengalami kecederaan luaran.
“Dia dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
“Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan rakaman kamera papan pemuka atau rakaman lain yang boleh membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas serta memberi perhatian sepenuhnya terhadap keadaan jalan raya.
Katanya, perkara itu amat penting khususnya ketika operasi khas dan kawalan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

