RM191 juta lesap kerana kripto

Zainuddin. FOTO: ROSLI TALIB
Zainuddin. FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes penipuan membabitkan mata wang kripto di negara ini merekodkan jumlah kerugian lebih RM191 juta dengan 1,979 kes dilaporkan dari tahun 2019 hingga Februari lalu.

Lima jenis kes penipuan yang paling dikesan ialah penipuan jual beli dan pelaburan mata wang kripto, pelaburan mining palsu, penggodaman cryptowallet dan ransomware.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pada tahun 2019 terdapat 605 kes dengan kerugian RM130.9 juta manakala tahun 2020 melibatkan 1,106 kes dengan kerugian RM51.2 juta.

“Bagi tahun ini setakat Februari, sebanyak 268 kes dilaporkan dengan kerugian mencecah RM9.3 juta,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Zainuddin berkata, JSJK juga telah menahan seramai 169 orang sepanjang tempoh berkenaan.

Mengulas lanjut, Zainuddin mendedahkan modus operandi yang digunakan sindiket penipuan jual beli mata wang kripto adalah dengan memperdaya mangsa supaya membeli mata wang digital tersebut.

“Mangsa berurusan dengan suspek bagi membeli mata wang kripto dan telah mendepositkan wang kepada suspek, tetapi suspek tidak memindahkan mata wang kripto yang sepatutnya kepada ke dalam cryptowallet mangsa,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagi kes pelaburan mata wang kripto, para pelabur dijanjikan pulangan lumayan setiap bulan berdasarkan jumlah wang yang dilaburkan. Jika besar pelaburan yang disertai, maka pulangan yang akan diterima juga lebih tinggi.

Mior Faridalathrash (tengah) bersama timbalannya, Datuk Mazlan Santarai (kiri) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Bersepadu Bitcoin di Tapah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Jumaat.
Mior Faridalathrash (tengah) bersama timbalannya, Datuk Mazlan Santarai (kiri) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan Op Bersepadu Bitcoin di Tapah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada Jumaat.

“Sindiket juga akan memperdaya mangsa dengan mengadakan majlis pelancaran sesuatu skim pelaburan di hotel-hotel mewah untuk menarik perhatian bakal pelabur mereka.

“Antara lain, sindiket juga suka memperagakan kemewahan yang mereka peroleh seperti mempamerkan kereta mewah, rumah mewah, dan percutian mewah ke negara-negara Eropah kononnya hasil daripada pelaburan yang disertai,” ujar Zainuddin.

Menurutnya lagi, bagi pelaburan mining palsu, pelabur perlu melaburkan wang kononnya bagi menyertai aktiviti perlombongan bitcoin iaitu sejenis mata wang kripto yang dilakukan di luar negara.

Pelabur-pelabur juga akan ditunjukkan imej atau video fasiliti yang menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin dan memaklumkan bahawa segala wang pelaburan akan digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan berkenaan yang sebenarnya tidak wujud.

Mengenai kes penggodam cryptowallet pula, Zainuddin menjelaskan, ia berlaku apabila penggodam mengakses cryptowallet mangsa dan memindahkan kesemua mata wang kripto ke cryptowallet milik suspek.

“Ia dilakukan sama ada dengan mengeksploitasi telefon bimbit atau komputer milik mangsa atau dengan cara mencuri kata laluan rahsia cryptowallet mangsa,” ujar beliau.

Sementara itu, kaedah penipuan menerusi ransomware juga dilakukan oleh individu yang berkebolehan untuk menceroboh sistem komputer mangsa dengan pelbagai cara termasuk menerusi e-mel.

“Suspek akan bertindak mengunci komputer tersebut.

“Suspek kemudian akan meminta wang tebusan dalam bentuk mata wang kripto sekiranya mangsa mahu membuka semula sistem komputer atau server milik mereka,” katanya.

Justeru, Zainuddin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dengan segala tawaran bagi menyertai apa-apa skim pelaburan kripto.

Beliau turut memberitahu bahawa tiada sebarang pelaburan kripto dibenarkan beroperasi di Malaysia sehingga kini.

Orang ramai juga digalakkan berhubung dengan CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 dan CCID Infoline di talian 013-211 1222 bagi mendapatkan maklumat atau rekod laporan polis yang telah dibuat ke atas sesuatu skim pelaburan kripto.