Desak Ahmad Faizal letak jawatan

Ibrahim (dua, kanan) menunjukkan surat notis pembubaran jawatankuasa bahagian Bersatu Gerik diterimanya bertarikh 30 Januari lalu dari MPT sambil diiringi Saharuddin (kanan).
Ibrahim (dua, kanan) menunjukkan surat notis pembubaran jawatankuasa bahagian Bersatu Gerik diterimanya bertarikh 30 Januari lalu dari MPT sambil diiringi Saharuddin (kanan).
A
A
A

TAIPING - Lapan bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak menolak keputusan pembubaran jawatankuasa bahagian itu dan mendesak Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan kerana kegagalan mengurus tadbir parti dengan baik.

Setiausaha Bersatu Perak, Ibrahim Hanafiah berkata, keputusan pembubaran jawatankuasa lapan bahagian di Perak oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 29 Januari lalu dianggap tidak sah dan menyalahi perlembagaan parti berdasarkan Fasal 22.1 Perlembagaan Bersatu.

Menurutnya, lapan bahagian sudah menerima notis pembubaran jawatankuasa bahagian bertarikh 30 Januari adalah Bagan Serai, Lenggong, Gerik, Teluk Intan, Tapah, Beruas, Larut dan Batu Gajah.

Ibrahim turut mendedahkan sejumlah lima bahagian lagi bakal menerima notis sama dihantar oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yusof iaitu bahagian Taiping, Bukit Gantang, Parit Buntar, Lumut, Kampung Gajah dan Tanjung Malim dalam masa terdekat.

"Fasal 22.1 hanya menyebut bahawa 'Bahagian' sahaja boleh dibubarkan oleh MPT atas sebab jawatankuasa Bahagian 'melanggar peraturan parti atau telah melakukan tindakan memudaratkan kepentingan parti'.

"Oleh itu, perkataan 'Bahagian' dalam Fasal 22.1 hanyalah merujuk kepada Bahagian yang disebutkan dalam Fasal 11.2 tersebut dan tidak merangkumi 'Jawatankuasa Bahagian' ditubuhkan di bawah Fasal 17.4 oleh Persidangan Bahagian.

"Dengan demikian, pembubaran 'Jawatankuasa Bahagian' adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan kerana bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan PPBM sendiri," katanya pada sidang media di Kamunting, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Bersatu bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Rashid, Ketua Bersatu bahagian Bagan Serai, Abu Hassan Yusof dan Ketua Penerangan Bersatu Perak, Amir Hashim Yot.

Artikel Berkaitan:

Ibrahim berkata, alasan lain pembubaran kesemua 13 jawatankuasa bahagian diberikan bersandarkan dakwaan Ahmad Faizal kononnya jawatankuasa bahagian itu didapati 'tidak berfungsi' kerana 'barisan jawatankuasa keluar daripada parti, tidak aktif dan sebahagiannya tidak dapat dikesan'.

Menurutnya, alasan itu dianggap satu kesimpulan dibuat Ahmad Faizal secara peribadi tanpa siasatan yang sah oleh Badan Pimpinan Bersatu negeri di samping bergantung kepada laporan ejen berat sebelah.

"Sedangkan yang patut dibubarkan adalah Badan Pimpinan Bersatu Perak sendiri termasuk Ahmad Faizal kerana selepas PRU14, beliau selaku pengerusi negeri gagal melaksanakan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perak lebih daripada sekali sehingga kini.

"Lebih malang, sehingga kini hanya sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan 24 bahagian Bersatu di Perak diberi peruntukan dana sangat sedikit.

"Jangankan hendak gajikan kerani, sewa pejabat pun tidak mampu. Hampir semua bahagian kini amat kekurangan dana untuk bergerak dan berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Ibrahim berkata, kesemua bahagian terbabit dengan notis pembubaran jawatankuasa bahagian di Perak turut menuntut Ahmad Faizal meletak jawatan parti di atas kegagalannya mentadbir parti dengan baik.

Menurutnya, semua ketua bahagian terlibat mahu berjumpa dengan kepimpinan tertinggi parti dan membawa kes pembubaran itu ke Lembaga Disiplin parti untuk tindakan selanjutnya.

"Pembubaran tidak sah kerana melanggar perlembagaan parti dan kami tidak diberi peluang membela diri," katanya.