X

Kindly register in order to view this article
!

Padah memancing di Taman Laut

Salah sebuah bot yang ditahan kerana membawa pemancing melakukan aktiviti itu di Taman Laut Pulau Aur, pada Ahad. Foto: Jabatan Perikanan Johor
A
A

MERSING - Padah memancing di kawasan Taman Laut, 12 lelaki ditahan ketika melakukan aktiviti itu di Pantai Pulau Aur, di sini malam Ahad.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Noraishah Hashim berkata, penahanan itu melibatkan 15 individu membabitkan 12 pemancing, dua tekong dan seorang awak-awak berusia antara 34 hingga 75 tahun dan dua vesel zon A.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan oleh penguatkuasa Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Negeri Johor yang melakukan rondaan rutin pemantauan vesel di perairan Johor Timur.

Sebahagian daripada hasil tangkapan. Foto: Jabatan Perikanan Johor
Sebahagian daripada hasil tangkapan. Foto: Jabatan Perikanan Johor

"Vesel penangkap ikan yang pertama di tahan sekitar jam tiga pagi iaitu 0.5 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur. Ia melibatkan seorang tekong berumur 62 tahun dan enam pemancing tempatan berumur antara 49 sehingga 75 tahun.

"Sementara vesel kedua ditahan pada jarak 0.6 batu nautika daripada Pantai Pulau Aur, melibatkan seorang tekong berusia 56 tahun, seorang awak-awak berusia 48 tahun dan enam pemancing berusia 34 hingga 58 tahun.

"Kedua-dua bot dan peralatan menangkap ikan turut disita dan akan disiasat di bawah seksyen 43 (1), Akta Perikanan 1985," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Antara peralatan memancing yang digunakan. Foto: Jabatan Perikanan Johor
Antara peralatan memancing yang digunakan. Foto: Jabatan Perikanan Johor

Jelas beliau, terdapat 13 pulau di perairan Mersing yang telah diwartakan sebagai Taman Laut pada 20 Oktober 1994.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 43, Akta Perikanan 1985 untuk mengambil, mengalih atau memiliki haiwan akuatik dalam kawasan Taman Laut.

"Kita ingin mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen agar tidak menjejaskan sumber perikanan negara yang perlu diurus secara lestari.

"Taman Laut Johor telah diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994 dan diharapkan semua pihak mengambil tahu tentang kepentingan pewujudan Taman Laut dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan yang telah ditetapkan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!