KPDNHEP keluar 50 notis kepada peniaga ayam

KPDNHEP mengeluarkan 50 notis kepada peniaga ayam di Perak atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau. -Gambar hiasan
KPDNHEP mengeluarkan 50 notis kepada peniaga ayam di Perak atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau. -Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sebanyak 50 notis telah dikeluarkan ke atas peniaga ayam di Perak atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau.

Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 menerusi Ops Pasar dan Ops Catut 8.0.

Menurutnya, dalam operasi sama yang melibatkan pelbagai kategori barangan basah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak turut mengeluarkan 23 notis kepada peniaga daging dan 36 notis kepada peniaga sayur-sayuran.

"Kesemua peniaga ini akan disiasat dan sekiranya berlaku pencatutan, tindakan tegas di bawah perundangan akan diambil.

"Menerusi Ops Catut 8.0 yang berkuatkuasa Khamis lalu, pemantauan juga dilakukan ke atas pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam di sekitar negeri ini.

"Sehingga semalam (Jumaat), sebanyak empat notis telah dikeluarkan ke atas pemborong ayam dan tindakan tegas menanti sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang aktiviti pencatutan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian isu kenaikan harga ayam berikutan aduan orang ramai khususnya ketika Ramadan ini.

Justeru, katanya, KPDNHEP negeri terus memantau bekalan dan harga ayam dan barang keperluan lain di pasaran supaya pengguna dapat memperolehnya pada harga yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

"Sempena Ramadan dan Aidilfitri ini, KPDNHEP melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara yang telah bermula pada 13 April lalu.

"Di bawah operasi ini, penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan rakyat berada dalam suasana yang selesa serta mudah untuk mendapatkan bekalan barangan-barang makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan sehingga perayaan," katanya.

Lokasi tumpuan Ops Pantau termasuk bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam dan pasar raya serta kedai runcit.

Sebarang aduan pengguna boleh dibuat menerusi aduan rasmi ke Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri Perak di talian 05-2414611 (Waktu operasi adalah 8 pagi hingga 5 petang); Portal e aduan@kpdnhep.gov.my; Call Centre 1800 886 800; Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hadir ke mana-mana lapan pejabat KPDNHEP di seluruh negeri Perak.