Merokok di tempat awam, premis makan, KKM keluar 125 notis

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sebanyak 125 notis kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah RM31,500.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan tembakau dan hasil tembakau di sekitar ibu negara, pada Sabtu.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 34 notis di premis makan, dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam (18), pusat beli belah (44), taman awam (21) dan laluan pejalan kaki berbumbung (dua).

"Kita turut mengeluarkan empat notis kesalahan kepada pemilik premis kerana gagal memastikan tiada kegiatan merokok di premis masing-masing, selain satu lagi notis kesalahan tiada tanda larangan," katanya pada sidang akhbar di Jalan Alor, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norhayati berkata, sebanyak 12,773 operasi dijalankan pada 2022 dan 4,113 operasi dijalankan bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

“Sebanyak 30,648 notis kesalahan dengan nilai RM 7.6 juta dikeluarkan pada tahun lalu, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, sebanyak 13,331 notis kesalahan bernilai RM3.3 juta dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat makan," katanya.

Beliau berkata, notis kesalahan merokok di tempat makan paling tinggi pada 2022 adalah Selangor (6,414 notis), Johor (3,095 notis), Pahang (2,935 notis), Perak (2,808 notis) dan Pulau Pinang (2,725 notis).

"Larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat itu kepada individu lain di sekeliling mereka," katanya.

Menurutnya, pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian dijalankan di peringkat antarabangsa.

"Justeru itu, perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape diseru supaya berhenti merokok mengikut kaedah rawatan diiktiraf oleh KKM.

"Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya.