Bazar Ramadan: 2,188 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 2,188 notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM197,600 telah dikeluarkan kepada premis dan pengendali makanan di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, notis itu dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan seperti tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan.

Sebanyak 640 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara telah dilawati bagi tempoh 23 Mac 2023 hingga 16 April 2023 dengan jumlah 51,849 premis telah diperiksa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 premis makanan telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Bagi pengendali makanan pula, seramai 104,755 pengendali makanan telah diperiksa dengan pecahan 93 peratus atau 96,911

pengendali makanan mempunyai suntikan anti-tifoid dan 84 peratus (87,832) telah menghadiri latihan pengendali makanan.

Sehingga 18 April, KKM telah menerima sebanyak 17 aduan makanan di bazar Ramadan.

"Sebanyak 15 aduan telah selesai disiasat manakala dua masih dalam proses siasatan," kata kementerian itu.

Bagi kejadian keracunan makanan pula, KKM berkata pihaknya menerima dua laporan sehingga 13 April.

Kedua-dua kejadian tersebut disebabkan oleh makanan yang telah dibeli di bazar Ramadan Asia City, Kota Kinabalu, Sabah dan bazar Ramadan UiTM Segamat, Johor.

Kesemua kes telah mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Sebanyak empat notis kompaun di atas kesalahan tidak mematuhi pakaian pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan kepada peniaga di bazar UiTM Segamat.

"Tapak bazar Ramadan UiTM Segamat juga telah diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," kata KKM.

Bersempena lebaran yang akan tiba, KKM ingin menasihati orang ramai untuk sentiasa peka dengan aspek keselamatan makanan.

Pastikan amalan pengendalian makanan yang bersih dan sanitasi sentiasa diamalkan terutama semasa menyediakan juadah hari raya atau ketika menganjurkan rumah terbuka.

Sentiasa amalkan kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan dan selepas ke tandas.

Sila lihat, hidu dan rasa sebelum makan dan jadikan ianya amalan sebagai langkah menghindari keracunan makanan," tambah kementerian itu.