Pembaharuan ekonomi sejajar penanda aras global

Mohamed Azmin (kiri) bersama Muhyiddin pada majlis perjumpaan bersama industri di Dewan Perdana, Menara MITI hari ini.
 - Foto Bernama
Mohamed Azmin (kiri) bersama Muhyiddin pada majlis perjumpaan bersama industri di Dewan Perdana, Menara MITI hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memastikan pembaharuan ekonomi selaras dengan penanda aras global, termasuk matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menteri Kanan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hasil daripada aspek ini juga akan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memudahkan pelabur, meningkatkan kecekapan dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan.

“Ia menekankan agenda menentukan cadangan nilai pelaburan Malaysia terkandung dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) kita, strategi memandang ke hadapan bertujuan untuk menarik pelaburan yang berkualiti didorong oleh inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan penyertaan rantaian bekalan domestik yang lebih besar,” katanya dalam ucapan pada pertemuan antara pemain industri dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), inisiatif itu tepat pada masanya berikutan Malaysia ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi dalam landskap ekonomi global yang amat mencabar.

MITI berkata, pertemuan itu menyediakan saluran yang kondusif kepada pihak berkepentingan industri untuk berkongsi isu-isu di lapangan, memberikan cadangan yang membina kepada kerajaan dan membincangkan peluang untuk membantu peserta industri memulihkan perniagaan mereka yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Perkara yang dibincangkan pada sesi tersebut termasuklah perlu mengutamakan peserta industri yang dianggap sebagai barisan hadapan ekonomi negara untuk Program Vaksinasi Negara; penggunaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan serta fleksibiliti mekanisme pembiayaan dan kawalan harga untuk produk/industri yang terpilih,” menurut MITI dalam kenyataan.

Pertemuan itu turut membincangkan mengenai pengurusan dan keperluan tenaga kerja; menambah baik kemudahan untuk pelaburan baharu; ratifikasi segera Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) dan pembangunan NIA baharu.

Pada sesi tersebut, kementerian itu berkata, peserta turut dimaklumkan mengenai impak positif yang dapat dibawa oleh program Safe@Work MITI kepada perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengenai masa depan, MITI berkata ia akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain dan yang paling penting dengan peserta industri, untuk memastikan Malaysia dapat memulihkan ekonominya selepas pandemik. - Bernama