Tingkat integriti, tadbir urus dan ketelusan melalui IBR

Warga kerja IIB berikrar untuk memerangi rasuah melalui Ikrar Bebas Rasuah.
Warga kerja IIB berikrar untuk memerangi rasuah melalui Ikrar Bebas Rasuah.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Iskandar Investment Berhad (IIB) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (PCEO) IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, majlis itu menandakan komitmen syarikat dalam memupuk kesedaran dan pematuhan terhadap amalan antirasuah.

"Ikrar ini merupakan inisiatif kami untuk menegak integriti, meningkat tadbir urus dan ketelusan dalam operasi perniagaan kami

"Kami ingin memupuk kesedaran dalam kalangan warga kerja IIB tentang pentingnya amalan nilai murni dan menerap integriti sebagai tanggungjawab setiap warga kerja IIB," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Majlis menandatangani ikrar disertai Jawatankuasa Pengurusan IIB dan seluruh warga kerja disaksikan Timbalan Pengarah SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

IIB merupakan antara lebih 2,000 syarikat dan organisasi yang telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama SPRM.

Tindakan tersebut menunjukkan IIB mengiktiraf inisiatif memerangi rasuah sebagai tugas dan tanggungjawab bersama yang dikongsi oleh semua anggota masyarakat.