NGO India perlu bincang, elak bertikam lidah: Saravanan

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan meminta semua organisasi bukan kerajaan (NGO) masyarakat India di negara ini, agar bersatu padu demi kepentingan generasi akan datang.

Beliau berkata, semua pemimpin NGO seharusnya perlu berbincang dan menyelesaikan isu-isu berbangkit, termasuk isu melibatkan bahasa dan agama Hindu.

“Kita (kaum India) hanya ada dua juta populasi di Malaysia. NGO perlu memikirkan perpaduan masyarakat India dan elakkan bertikam lidah,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Tamil Puthandu Kondatam’ di Dewan Kalamandabam di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu beberapa NGO India, yang membahaskan sama ada bulan Thai atau Chittrai mengikut Kalendar Tamil yang seharusnya disambut sebagai Tahun Baharu Tamil.

Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berjanji, akan mewujudkan satu platform agar semua pihak dapat berbincang dan membuat satu keputusan bernas dalam isu berkenaan.

Tamil Puthandu Kondatam, merupakan acara julung kali anjuran Malaysia Hindu Sangam (MHS) bersama 30 NGO masyarakat India.

Acara kebudayaan India termasuk persembahan Urume Meelam (alat muzik tradisional India) Poi-ka Kuthirai (tarian menggunakan patung kuda), tarian Bharathanatyam, pertunjukkan Silambam, seni mempertahankan diri yang berasal dari Tamil Nadu, India meriahkan sambutan itu.

Sambutan yang berlangsung selama 6 jam itu juga, menyaksikan beberapa pertandingan tradisional bagi mengekalkan tradisi kaum India itu, seperti pertandingan melukis ‘Kolam Ranggoli’ dan mengikat bunga melur.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden MHS Datuk RS Mohan Shan berkata, seramai 300 orang seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menyertai sambutan, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Saravanan turut melancarkan buku bertajuk ‘Tamil Puthandum, Thai Thirunalum’ (mengenai Tahun Baharu Tamil dan Perayaan bulan Thai) nukilan Dr Jeyabalan Valliyan pada majlis itu.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dr Tan Awang Besar.

Permulaan bulan Tamil iaitu Chittirai, menandakan hari pertama dalam kalendar Tamil dan tahun ini dikenali sebagai Tahun Pilava. - Bernama