Hakim perbicaraan kelihatan 'terdorong' untuk putuskan Najib bersalah: Peguam

Datuk Seri Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa diberitahu hakim dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd bagaikan 'terdorong' untuk memutuskan bekas perdana menteri itu bersalah.

Peguam beliau Farhan Read berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dua lagi hakim ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Kelihatan seolah-olah ada keinginan untuk memutuskan tertuduh bertanggungjawab. Hakim (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) terdorong untuk memutuskan tertuduh bersalah,” katanya.

Farhan berkata, undang-undang jenayah bukanlah saluran yang tepat untuk tertuduh dipertanggungjawabkan kerana tertuduh sudahpun dipertanggungjawabkan pada pilihan raya umum yang lepas.

Kata peguam itu lagi dapatan hakim perbicaraan bagi memerintahkan Ahli Parlimen Pekan tersebut membela diri juga sangat prejudis.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh kesalahan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.

Pendengaran bersambung. - Bernama

Artikel Berkaitan: