Tahap kesedaran pengambilan vaksin masih rendah

Amzad (kiri) menerima cenderahati daripada Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu ( KAWAT ) Khairul Azlam Mohamad sempena Majlis Makan Malam Perdana Media Kuala Terengganu, di Hotel Primula, pada Ahad.
Amzad (kiri) menerima cenderahati daripada Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu ( KAWAT ) Khairul Azlam Mohamad sempena Majlis Makan Malam Perdana Media Kuala Terengganu, di Hotel Primula, pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tahap kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan masyarakat dilihat masih rendah berdasarkan peratusan individu yang mendaftar melalui aplikasi mySejahtera.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, perkembangan itu dikhuatiri membantutkan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin sebelum hujung tahun ini.

"Sehingga kini sambutan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilihat masih belum memuaskan terutama melibatkan negeri di pantai timur dan Sabah.

"Sambutan untuk mendaftar vaksin terutama Terengganu dan Kelantan agak rendah iaitu pada kadar 28 peratus. Negeri lain seperti Sabah juga menunjukkan peratusan pendaftaran vaksin 12 peratus," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana Media Kuala Terengganu, di sini, malam Ahad.

Sehubungan itu, Amzad berkata, kerajaan kini mewujudkan Sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) sebagai inisiatif membantu meningkatkan jumlah pendaftaran fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh negara bermula 17 April nanti.

Beliau berkata, setakat ini seramai 8,500 belia sudah mendaftar sebagai sukarelawan MyVac yang akan ditugaskan di 607 Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara.

"Langkah itu bagi membantu melancarkan proses vaksinasi fasa kedua yang kebanyakannya melibatkan pendaftaran warga emas.

"Kebanyakan warga emas dilihat tidak mahir menggunakan MySejahtera. Jadi, tugas sukarelawan MyVac ini akan turut memberi tumpuan di lokasi orang ramai seperti di pasar dan kampung untuk mendekati golongan ini supaya tidak ketinggalan.

Artikel Berkaitan:

"Selain mengesan individu yang layak menerima vaksin tetapi tidak berdaftar dengan aplikasi MySejahtera, sukarelawan ini juga terlibat membantu petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya.

Amzad berkata, MyVac yang dilancarkan pada 15 Mac lalu merupakan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MOSTI, Kementerian Belia Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membantu melancarkan pengurusan pemberian vaksin kepada masyarakat.

"Banyak negeri yang memulakan gerakan sukarelawan MyVac ini dan kita harap ia dapat membantu kerajaan mencapai matlamat dalam program imunisasi ini agar ekonomi negara dapat dipulihkan segera," katanya.