Geran dimanipulasi, tanah diceroboh wanita berdialek Indonesia

HULU LANGAT - Seorang lelaki tidak menyangka geran yang dikongsikan kepada beberapa pembeli melalui aplikasi WhatsApp dimanipulasi oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga tanah seluas 1.16 hektar yang bertempat di Semungkis, dekat sini diceroboh.
Berkongsi di laman Facebooknya, Mustaza Mohd Yusof berkata, dia mendapat lantikan secara lisan daripada seorang pemilik tanah pada September 2024 untuk mencari pembeli.
Menurutnya, pemilik juga memintanya menjaga tanah berkenaan berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
"Setelah saya membuat pengiklanan dalam talian, ada beberapa pembeli yang bertanya.
"Saya sebagai wakil penjual menunjukkan geran kepada beberapa pembeli melalui aplikasi WhatsApp bagi memudahkan pembeli membuat pertimbangan," katanya.

Jelas beliau, setelah hampir setahun masa berlalu, tanah tersebut masih tiada pembeli dan beliau mula jarang melawat tanah tersebut kerana kesibukan menguruskan kerja-kerja lain.
"Pada 21 Oktober tahun lalu, saya ada melawat ke tanah tersebut dan mendapati sebahagian daripada tanah sudah ditolak dengan jentera berat.
"Saya bertanya kepada pemilik tanah tentang perkara ini dan pemilik juga tidak tahu apa-apa," ujar Mustaza.
Menurutnya, beliau kemudian terserempak dengan seorang wanita berdialek Indonesia bersama tiga lelaki dewasa yang mengaku pemilik tanah tersebut.
Mereka juga mengaku membersih dan meratakan tanah tersebut untuk tujuan penjualan tanah lot lidi.
"Saya menyamar sambil buat rakaman video mengatakan kepada mereka bahawa saya juga berminat untuk membeli tanah lot lidi yang mereka jual dan wanita itu telah memberi nombor telefonnya kepada saya untuk berbincang lebih lanjut," katanya.
Menurut Mustaza, beliau menghubungi wanita berkenaan dengan menggunakan nombor telefon yang berbeza.
Wanita itu kemudian menunjukkan satu geran besar tanah berkenaan yang mana geran tersebut pernah diberikannya kepada pembeli-pembeli yang bertanya sebelum ini.
"Saya maklumkan kepada pemilik mengenai perkara ini dan menunjukkan bukti video sebelum membuat laporan polis dan pejabat tanah.
"Sehingga 1 Januari lalu, masih tiada tindakan daripada pejabat tanah manakala pihak polis pula sarankan saya mengumpul lebih banyak bukti iaitu surat tawaran jual beli daripada wanita itu supaya tangkapan menjadi lebih kepada jenayah komersial.
"Saya masih belum dapat surat jual beli kerana dia berurusan dengan kebanyakan pembelinya iaitu warga Indonesia tanpa menggunakan surat jual beli," kata beliau.
Tambahnya, setelah berbincang dengan pemilik, mereka memutuskan untuk menghalau penceroboh secara sendiri dan meminta ganti rugi kerosakan tanah, rumah kayu dan pokok-pokok buahan.
"Penceroboh akhirnya berjaya dihalau pada Sabtu lalu setelah saya bertemu dengan wanita itu bersama suaminya di tanah tersebut.
"Pondok yang didirikan di atas tanah telah saya musnahkan. Dia berjanji untuk bayar ganti rugi dan tidak datang lagi ke tanah tersebut. Ganti rugi sebanyak rm30,000 telah dibayar kepada akaun pemilik tanah," jelas Mustaza.
Jelas beliau, hantaran berkenaan dibuat di media sosial bertujuan agar orang ramai tidak berurusan dengan wanita berkenaan berkaitan tanah lot lidi di tanah tersebut.
"Sehingga tarikh 4 Januari, saya masih mendapati dia masih meyakinkan pembeli tanah lot lidi yang dibuka olehnya secara palsu," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki melaporkan tanah 1.16 hektar di Semungkis, Hulu Langat diceroboh setelah geran dikongsi di WhatsApp
- Mustaza Mohd Yusof dilantik cari pembeli oleh pemilik tanah yang sakit pada September 2024
- Tanah tersebut belum ada pembeli hampir setahun, jarang dilawati oleh Mustaza
- Mustaza bertemu wanita berdialek Indonesia dan tiga lelaki yang mengaku pemilik, meratakan tanah untuk jualan lot lidi
- Penceroboh dihalau, ganti rugi rm30,000 dibayar ke pemilik setelah Mustaza ambil tindakan sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

