Timbalan Menteri Sarawak cedera dipukul empat lelaki

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUCHING - Seorang Timbalan Menteri Sarawak cedera dipercayai dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di hadapan kediaman keluarganya di Tabuan Jaya di sini pada Rabu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam ketika mangsa dalam perjalanan mengunjungi kediaman keluarganya menjelang sambutan Hari Gawai.

Difahamkan, ketika melalui lorong kawasan itu, mangsa terserempak dengan sekumpulan individu tidak dikenali yang dipercayai menaiki sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu kemudian keluar dari kenderaan dan bertanya kepada kumpulan lelaki tersebut tujuan mereka berada di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dipercayai berlaku sedikit pertengkaran susulan itu.

Kumpulan individu tersebut bertindak menyerangnya sebelum melarikan diri.

Mangsa dihantar ke hospital dan laporan polis dibuat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tersebut sambil menambah, ia sedang disiasat. - Awani