Penggunaan vape dalam kalangan remaja meningkat

Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mencatatkan peningkatan ketara. - Foto Bernama
Penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mencatatkan peningkatan ketara. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 sehingga 17 tahun mencatatkan peningkatan ketara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, hasil tinjauan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus pada tahun lalu berbanding 9.8 peratus pada 2017.

“Peningkatan turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada tahun 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.

“Penggunaan rokok elektronik terbukti mendatangkan kemudaratan kepada pengguna kerana kandungan di dalam cecair rokok elektronik dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang memberikan kesan keradangan kepada lapisan paru-paru,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dr Muhammad Radzi
Dr Muhammad Radzi

Jelas Dr Muhammad Radzi lagi, kesan daripada proses itu akan menyebabkan individu berisiko mengalami kecederaan paru-paru atau ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI).

Sehubungan itu katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape termasuk EVALI melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi bermula Jun 2022.

“KKM juga telah mewujudkan Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan EVALI (CPG) pada 2021 bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes EVALI,” katanya.

Ujarnya lagi, KKM memohon semua pengamal perubatan sentiasa membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya mengesan individu yang menghidap EVALI.

“KKM mengingatkan semua pengguna rokok elektronik atau vape bukan satu kaedah untuk berhenti merokok malah akan memberi kesan yang lebih buruk terhadap kesihatan.

“Bagi mereka yang merokok dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman sesawang www.jomquit.com,” kata Dr Muhammad Radzi.