Permohonan sijil halal dalam kalangan bumiputera meningkat

No Image Caption
A
A
A

SEMENYIH - Statistik permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan trend peningkatan yang signifikan dalam kalangan usahawan bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Jakim menerima hampir 1,000 permohonan SPHM setakat bulan Jun tahun ini daripada usahawan bumiputera sahaja.

“Pada tahun 2021, sebanyak 1,552 permohonan sijil halal diterima dan jumlah itu meningkat kepada 1,747 permohonan pada tahun 2022. Trend ini berterusan apabila Jakim menerima sebanyak 910 permohonan sijil halal setakat bulan Jun, tahun ini.

“Dengan peningkatan ini, Jakim telah memainkan peranan yang baik dengan menggalakkan pemain-pemain industri bumiputera untuk memohon pensijilan halal,” katanya selepas penyerahan sumbangan bantuan RM100,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di sini pada Selasa.

Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Azlan Abd Rahman (kiri) bagi membantu menjelaskan baki bayaran pembelian rumah penghuni warga emas di tempat tersebut.
Mohd Na'im (tiga dari kanan) menyerahkan bantuan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Azlan Abd Rahman (kiri) bagi membantu menjelaskan baki bayaran pembelian rumah penghuni warga emas di tempat tersebut.

Hadir sama Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yakin bahawa permohonan SPHM oleh usahawan bumiputera akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan usaha Jakim yang sangat proaktif dalam menangani isu tersebut.

“Saya amat positif bahawa permohonan sijil halal akan terus meningkat kerana Jakim sangat aktif menganjurkan pelbagai usaha dalam membina kesedaran.

“Jakim juga menyediakan ruang serta platform perkongsian maklumat secara aktif bersama agensi pembimbing usahawan melalui pelbagai agensi dan kementerian dengan menubuhkan Seksyen Advokasi untuk memberi fokus berkaitan perkara ini,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki oleh syarikat bukan Islam berbanding 37,466 produk bumiputera dari tahun 2021 hingga 10 April 2023.

Terdapat 21,448 produk milikan bukan bumiputera yang mempunyai status halal Jakim berbanding 8,341 produk bumiputera sehingga 10 April lalu.

Berdasarkan angka terkini pemegang pensijilan halal dikeluarkan Jakim, hanya 41 peratus usahawan bumiputera Islam yang berminat mendapatkan sijil penting berkenaan.

Mengenai syarikat bukan bumiputera yang lebih berminat memburu sijil halal Jakim berbanding bumiputera, Mohd Na'im berpandangan, isu itu berlaku kerana majoriti industri di Malaysia dikuasai oleh bukan bumiputera.

“Apabila industri ini dikuasai oleh bukan bumiputera, sudah tentu permohonan sijil halal adalah di dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

“Pensijilan halal penting bagi syarikat bukan bumiputera untuk meningkatkan keyakinan pengguna yang mahu membeli produk mereka dan seterusnya meningkatkan daya saing produk dalam domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Mohd Na'im (dua dari kanan) bersama Mohd Sany(dua dari kiri) dan Ras Adiba (kiri) melawat rumah kebajikan warga emas di Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih pada Selasa.
Mohd Na'im (dua dari kanan) bersama Mohd Sany(dua dari kiri) dan Ras Adiba (kiri) melawat rumah kebajikan warga emas di Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih pada Selasa.

Dalam pada itu Mohd Na'im berkata, Jakim tidak pernah mengabaikan industri mikro dalam pensijilan halal Malaysia.

Sebagai bukti katanya, kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk membantu usahawan mikro dalam pelbagai aspek termasuk meningkatkan kesedaran pengusaha-pengusaha mengenai pensijilan halal Malaysia.

Misalnya pada tahun ini, Mohd Na'im berkata, Jakim telah meneroka satu platform libat urus dengan industri mikro dan kecil melalui penganjuran program secara ‘hands on’ yang dinamakan sebagai Klinik Halal Bersama Jakim.

Menurutnya, program itu diadakan pada setiap tiga bulan dengan penglibatan 10 hingga 20 orang mewakili syarikat mikro dan kecil yang terpilih untuk membuat permohonan halal.

“Selain itu, Persidangan Meja Bulat bersama Agensi Pembimbing yang melibatkan tujuh Kementerian seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Kementerian Ekonomi telah diadakan pada 20 Mac lalu bagi membincangkan usaha-usaha melahirkan lebih ramai usahawan mikro dan kecil yang mempunyai pensijilan halal Malaysia,” katanya.