Perkeso bayar RM19 bilion kepada pencarum

Awang (tengah) menyerahkan cek faedah Perkeso kepada pemandu e-hailing, Mohd Hayazi Ramli (kiri) di Wisma Perkeso Kedah di sini pada Ahad.
Awang (tengah) menyerahkan cek faedah Perkeso kepada pemandu e-hailing, Mohd Hayazi Ramli (kiri) di Wisma Perkeso Kedah di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengeluarkan lebih RM19 bilion bayaran faedah kepada pencarum dan ahli keluarga berkelayakan sejak 2016.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, bayaran itu juga didapati meningkat setiap tahun dalam tempoh lima tahun itu.

Beliau memberitahu, sebanyak RM3.3 bilion bayaran faedah Perkeso dikeluarkan pada 2016 diikuti RM3.6 bilion pada 2017, RM3.8 bilion pada 2018 dan RM4.2 bilion pada 2019 manakala RM4.25 bilion pada tahun lepas.

"Peningkatan itu membuktikan peranan penting Perkeso dalam membela kebajikan pekerja dan pencarum di negara ini," katanya pada Program Malaysia Prihatin: Jelajah Prihatin 50 Tahun Perkeso di Wisma Perkeso Kedah di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Kedah, Mohammad Haron Othman.

Awang berkata, Perkeso tetap membuat pembayaran walaupun jumlah berkenaan agak besar bertujuan membantu menjaga kebajikan dan memastikan nasib pencarum dan ahli keluarga mereka terbela terutama ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Tambah beliau, pihaknya turut menjangkakan bayaran faedah Perkeso kepada pencarum meningkat tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang masih berlarutan sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersedia dengan sebarang cabaran dan memastikan pencarum yang berdepan ujian tetap menerima faedah daripada Perkeso.

Artikel Berkaitan:

Beberapa aktiviti menarik diadakan dalam program itu termasuk jelajah prihatin, bengkel kebolehpasaran, temuduga terbuka, pendaftaran SPSLindung dan SPS Prihatin Wanita.

Dalam majlis itu, Awang turut menyampaikan faedah Perkeso kepada tiga Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBSS) yang berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang mengalami kemalangan ketika bekerja.

Beliau turut meluangkan masa menyerahkan Insentif Pekerja (PenjanaKerjaya) kepada tiga majikan dan elaun mencari pekerjaan kepada seorang pekerja yang kehilangan pekerjaan pada 1 April lalu.