X

Kindly register in order to view this article
!

Bazar Aidilfitri Lorong TAR bermula 17 April

DBKL
A
A

KUALA LUMPUR - Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) akan bermula pada 17 April hingga 12 Mei.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, seramai 208 penjaja akan berniaga di Lorong TAR dari kawasan belakang bangunan Kompleks Campbell hingga ke susur keluar persimpangan Masjid India.

Menurutnya, tempoh operasi bazar ini antara jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan dikawal selia sepenuhnya oleh DBKL.

"Pagar akan dipasang di sepanjang jalan kawasan Lorong TAR yang menempatkan penjaja bazar berkenaan bagi mengawal laluan keluar masuk pengunjung," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membenarkan lokasi bazar Aidilfitri beroperasi kembali di Jalan TAR selepas dua tahun dipindahkan ke Jalan Raja.

Dalam kenyataan sama, DBKL turut memaklumkan pelaksanaan bazar Ramadan di 65 lokasi bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur beroperasi pada 1 Ramadan bermula jam 3 petang hingga 8 malam.

Selain itu, DBKL turut memaklumkan, tapak tradisi Pasar Malam Lorong TAR yang beroperasi setiap Sabtu akan dipindahkan ke Jalan TAR sepanjang Ramadan.

"Sebahagian Jalan TAR bermula persimpangan Jalan Esfahan (selepas Sogo) ke persimpangan Jalan Melayu akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan bagi memberi laluan aktiviti pasar malam.

"Laluan kepada semua kenderaan akan ditutup bermula jam 12 tengah hari sehingga 12 malam pada tarikh terlibat (17 April, 24 April, 1 Mei dan 8 Mei)," kata kenyataan itu.

DBKL mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung bazar Aidilfitri, bazar Ramadan serta pasar malam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan atau berdepan tindakan kompaun maksimum RM10,000 bagi individu.

Penganjur pula berdepan denda RM50,000 selain tindakan penutupan gerai atau operasi bazar boleh dilaksanakan oleh DBKL.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!