Black Pink kenal, Tunku Abdul Rahman tak kenal!

Tunku Abdul Rahman.
Tunku Abdul Rahman.
A
A
A

SEMALAM ketika sedang khusyuk melayan TikTok, muncul satu konten daripada seorang pempengaruh yang mencuri perhatian Merak Jalanan.

Konten berbentuk eksperimen sosial itu menunjukkan si pempengaruh membuat kuiz secara spontan dengan beberapa orang remaja.

Mula-mula pempengaruh itu menunjukkan foto seorang artis K-Pop untuk diteka oleh responden. Dengan pantas si remaja itu menjawab, “Lisa Black Pink!”

Kemudian ditunjukkan pula foto kedua, tapi remaja itu tergagap-gagap nak jawab. Katanya, “tak kenal!”

Foto kedua itu ditunjukkan pula kepada responden kedua yang juga rakan responden pertama, dia pun tergagap-gagap nak jawab. “Ini tokoh, kan? Dah lupa nama dia tapi dalam buku sejarah sekolah ada.

”Rupa-rupanya foto kedua yang responden tak kenal itu adalah foto Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Merak Jalanan termenung sekejap. Tak tahu nak ketawa atau rasa sedih kerana percaya kebanyakan generasi baharu kita memang boleh kenal puluhan artis Korea atau selebriti Barat tapi berapa kerat sangat yang kenal tokoh negara kita sendiri.

Terlalu kuat pengaruh dan propaganda dunia luar sudah meresap masuk dalam jati diri anak-anak muda kita hinggakan makin terhakis rasa kecintaan kepada Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mungkin kerana pendedahan kepada pengaruh media sosial yang keterlaluan.

Mungkin ada yang tak bersetuju dengan pandangan Merak Jalanan dan anggap analogi konten di TikTok itu tak boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai tahap patriotik generasi muda kita.

Namun bagi Merak Jalanan, kalau kuiz kenegaraan yang asas itu pun remaja kita gagal untuk lulus, macam mana nak disoal dengan soalan yang lebih tinggi? Takkanlah Bapa Kemerdekaan pun tidak tahu.

Ingatlah bangsa yang besar adalah bangsa yang kenal sejarah mereka.