Pengumuman Sabah, Sarawak sebagai wilayah hanya gimik pilihan raya

Datuk Junz Wong
Datuk Junz Wong
A
A
A

KOTA KINABALU - Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong menganggap pengumuman Sabah dan Sarawak sebagai wilayah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini hanya sebagai gimik pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Sabah tidak akan terus ditipu dengan gimik sedemikian yang dilihat hanya untuk menarik undi ketika pilihan raya.

"Terima kasih. Tetapi ini jelas gimik pilihan raya. Rakyat Sabah tidak akan terus menjadi bodoh.

"Perdana Menteri kata Perikatan Nasional (PN) perlu menang besar untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Tetapi tiada siapa pun menghalang beliau meneruskan Parlimen. Malah yang umum darurat dan gantung Parlimen itu kerja Muhyiddin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Junz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru berkata, Parlimen harus bersidang untuk memberi kesan kepada perisytiharan Sabah sebagai sebuah wilayah.

"Pengumuman itu hanya langkah 'syok sendiri' melainkan jika ada pindaan dibuat kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu Sabah dan Sarawak masih dikenali sebagai 'negeri' bersama negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perlis.

"Sebab itu pindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan. Apabila ia diumum begitu sahaja, itu kita panggil syok sendiri. Kita panggil Sabah sebuah wilayah, tetapi roh dan inti pati sesebuah wilayah itu tidak ada.

"Hak minyak dan gas masih dinafikan, hak-hak pengeksportan masih perlu kelulusan Semenanjung, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih tidak ditunaikan. Jadi syok sendiri sajalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Junz turut mengingatkan bahawa Warisan pernah mengusahakan pindaan Parlimen untuk memberi kesan perundangan kepada maksud 'rakan kongsi'.

"Pada April tahun 2019, mendiang Datuk Liew Vui Keong (Ahli Parlimen Batu Sapi) dari Warisan yang merupakan Menteri Undang-Undang di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sudahpun membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

"Ini dibuat untuk memberi kesan perundangan, bagi memulihkan hak-hak Sabah dan Sarawak.

"Ketika itu, kami perlukan dua pertiga majoriti, iaitu 148 orang ahli Parlimen. Tetapi apa yang berlaku, daripada 197 ahli Parlimen yang hadir, 138 undi setuju, manakala 59 tidak mengundi.

"Jadi 59 ahli Parlimen itu menggagalkan usul tersebut. 59 orang ahli Parlimen ini termasuk seorang ahli Parlimen Sabah yang merupakan Timbalan Ketua Menteri sekarang dan sekumpulan lagi ahli Parlimen Sarawak," katanya.

Junz dalam pada itu meminta supaya Parlimen dapat bersidang dan seterusnya sebulat suara untuk menyokong pindaan itu di Parlimen.

"Sekiranya Perdana Menteri ikhlas, biar Parlimen bersidang dan biar kita sebulat suara undi menyokong pindaan Parlimen.

"Semua wakil rakyat Warisan akan sokong usul Muhyiddin untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Sabah, Sarawak dikenali sebagai wilayah sebelum pembentukan Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN:Terma wilayah bezakan Sabah, Sarawak dengan Semenanjung