X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia usul Pengiktirafan Sijil Vaksinasi Covid-19 Timbal Balik

Muhyiddin menyampaikan ucapan secara maya pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Ke-10 di pejabatnya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengusulkan agar Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) melaksanakan Pengiktirafan Sijil Vaksinasi Covid-19 Timbal Balik dalam kalangan negara anggota bagi mempercepat pembukaan semula sektor-sektor yang paling teruk terjejas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat usul itu dalam ucaptama beliau yang disampaikan secara maya pada Sidang Kemuncak D-8 di sini pada Khamis, mengambil kira pelaksanaan pelan vaksinasi yang sedang berlangsung di kebanyakan negara.

Muhyiddin mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak secara maya itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed. Perkumpulan D-8 dianggotai lapan negara membangun iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, pandemik Covid-19 membawa impak terhadap nyawa dan kehidupan rakyat selain membunyikan amaran, khususnya berhubung isu kemiskinan, dan beliau menggesa negara anggota D-8 agar bekerjasama menangani isu itu secara kolektif.

“Fokus utama Malaysia di bawah strategi pembasmian kemiskinannya ialah penjanaan pendapatan, pengembangan kemudahan pendidikan dan latihan, penjanaan pekerjaan serta pemodenan kehidupan luar bandar selain peningkatan keadaan kehidupan,” katanya yang berkongsikan pengalaman Malaysia.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga akan berkongsi pengalamannya dengan negara anggota D-8 bagi menghasilkan satu pendekatan bersama dalam melangkah ke depan untuk mengharungi landskap global pasca-Covid-19.

Perdana Menteri berkata, Malaysia gembira dengan pengaktifan Program Kesihatan dan Perlindungan Sosial D-8 yang merupakan langkah tepat pada masanya ke arah mempermudah negara anggota dalam mengurangkan kesan pandemik itu.

“Pandemik ini menyedarkan kita akan keperluan untuk mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh, berdaya maju dan berkesan,” katanya.

Malaysia juga gembira menjadi anggota Kumpulan Kerja Mobilisasi Sumber yang bertanggungjawab mengartikulasikan strategi dan cadangan bagi penyumberan domestik oleh negara dan akan terus berkongsi kepakaran serta pengalamannya mengenai isu itu selain bekerja rapat dengan anggota kumpulan kerja, katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia turut mengalu-alukan Strategi Pelancongan dan Inisiatif Crescent Moon yang diterima guna kerana ia percaya inisiatif itu penting dalam mempermudah negara anggota untuk menghidupkan semula industri pelancongan mereka yang teruk terjejas oleh pandemik.

“Inisiatif itu yang direka bentuk untuk mempromosikan pelancongan dan kebudayaan, sosial, serta kesalinghubungan manusia dan perniagaan, amat penting dalam melengkapkan aspirasi Deklarasi Dhaka bagi mempromosikan aktiviti pelancongan dalam kalangan negara anggota,” katanya.

Muhyiddin berkata, Deklarasi Dhaka serta Pelan Hala Tuju Sedekad D-8 2020-2030 yang akan diterima guna hari ini, bakal berperanan sebagai asas untuk transformasi dan memandu tugas D-8 bagi kesejahteraan rakyat.

“Dokumen yang diterima guna akan memberikan peluang kepada negara anggota D-8 untuk memperbaharui kerjasama dan komitmen kita ke arah mencapai wawasan bersama kita,” katanya.

Pemimpin lain yang hadir pada sidang kemuncak secara maya itu ialah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Presiden Indonesia, Joko Widodo; Presiden Iran, Hassan Rouhani serta Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Sidang Kemuncak D-8 tahun ini dihoskan oleh Bangladesh dengan tema "Partnership for a Transformative World: Harnessing the Power of Youth and Technology". - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!