Operasi GLC Kedah diyakini pulih semula

Muhammad Sanusi (dua dari kanan) membuat penyerahan cek elaun JPKK kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Asri Redha (dua dari kiri) pada Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) membuat penyerahan cek elaun JPKK kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Asri Redha (dua dari kiri) pada Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri yakin operasi anak syarikat milik kerajaan (GLC) Kedah berkaitan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan pulih semula.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun pemulihan semula mungkin memerlukan sedikit masa untuk mengatasi kesan penularan wabak Covid-19 sejak tahun lepas.

Katanya, anak syarikat GLC terbabit terpaksa membuat pengurangan tenaga kerja seperti yang dialami kakitangan Hotel Adya milik Permodalan Kedah Berhad (PKB).

"Sehingga kini, seramai 170 kakitangan terpaksa diberikan cuti tanpa gaji, manakala 150 daripada jumlah tersebut terpaksa ditawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

"Situasi ini berlaku kerana PKB tidak lagi mampu membayar gaji disebabkan kemerosotan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Pagi Menteri Besar Kedah bersama Penjawat Awam Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.

Menurutnya, penyebaran Covid-19 sememangnya memberi kesan memandangkan sumber pendapatan 70 peratus penduduk Langkawi adalah bergantung kepada sektor pelancongan.

"Saya dimaklumkan lebih 1,000 pekerja dalam sektor pelancongan di Langkawi telah kehilangan pekerjaan mereka, jadi bayangkan kesengsaraan mereka yang perlu menanggung sewa rumah, makan minum dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan memberi suntikan modal mengikut kadar termampu kepada GLC terlibat, namun kemampuan Kedah juga agak terhad ketika ini.

"Namun, saya yakin akan ada peluang baharu yang boleh diteroka memandangkan sektor pelancongan di Langkawi kini kembali menerima kemasukan pelancong," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, hanya GLC berkaitan sektor pelancongan di Langkawi didapati terkesan, manakala GLC lain seperti perladangan tidak berdepan situasi seumpama itu.

Pada majlis tersebut, Muhammad Sanusi turut membuat penyerahan cek elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kepada pegawai-pegawai daerah.