Isu air: Kerajaan Pusat perlu campur tangan

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pusat perlu campur tangan bagi menghalang Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengambil tindakan persendirian yang mengancam perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, undang-undang Persekutuan dan negeri yang wujud telah menentukan hak Pulau Pinang dan Kedah terhadap Sungai Muda.

Menurutnya, dari sudut undang-undang, Muhammad Sanusi tiada asas yang sah untuk menuntut sebarang pembayaran dari Pulau Pinang.

"Bukan Pulau Pinang yang memulakan pertikaian Sungai Muda ini malah Pulau Pinang tidak pernah mempersoalkan hak-hak riparian Kedah untuk mengabstrak air dari Sungai Muda.

"Sebaliknya, Menteri Besar Kedah secara terbuka mengugut Pulau Pinang untuk menuntut pembayaran dan beliau telah mengeruhkan lagi keadaan dengan mengumumkan projek infrastruktur baharu di Kedah yang beliau dakwa akan menghadkan ketersediaan air mentah dari Sungai Muda untuk Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj air mentah: Kedah mahu bayaran bukan sumbangan

Jaseni mempersoalkan adakah kerajaan Persekutuan akan membenarkan Muhammad Sanusi secara persendirian membahayakan keselamatan bekalan air di Pulau Pinang.

Katanya, sekiranya beliau diizinkan untuk meneruskan hasrat itu, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP tiada pilihan selain memulakan tindakan untuk mempertahankan bekalan air bagi 1.776 juta penduduk dan semua perniagaan yang beroperasi di sini dengan apa cara sekalipun.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Isu air: Kedah sedia terima campur tangan kerajaan Pusat

"Sekiranya bekalan air Pulau Pinang terganggu, rakyat negeri ini akan menderita malah akan menjejaskan operasi semua perniagaan, termasuk syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di sini selama beberapa dekad, akan terjejas.

"Disebabkan itu, kerajaan Persekutuan akan kehilangan berbilion-bilion hasil cukai Persekutuan, serta potensi pelaburan langsung asing (FDI), jika terdapat krisis air di Pulau Pinang," katanya.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga akan kehilangan berbilion-bilion lagi hasil cukai Persekutuan dari Perlis dan Kedah sekiranya Ulu Muda dan Sungai Muda terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang bakal guna air selut jika enggan bayar caj air mentah