Isu air: Kedah sedia terima campur tangan kerajaan Pusat

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sedia menerima campur tangan kerajaan Pusat bagi mengatasi kemelut air yang berlaku antara negeri itu dengan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesediaan itu akan berlaku jika Pulau Pinang membayar tuntutan caj bekalan air kepada Kedah.

Menurutnya, Kedah akan tetap meneruskan rancangan pembangunan untuk membangunkan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang menakung lebihan air di Sungai Muda

"Kita akan teruskan rancangan yang ada di negeri ini dan kalau ada campur tangan oleh kerajaan Persekutuan, kita harap campur tangan itu ke arah Pulau Pinang membayar kepada Kedah atas apa alasan sekalipun.

"TAPS, stesen pintu kawalan air (baraj) untuk menstabilkan paras air dan mengutamakan air untuk pertanian serta bekalan air minum rakyat Kedah itu yang paling utama," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) campur tangan dalam mengatasi isu air antara dua negeri itu.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah akan mengambil kira keperluan dan kepentingan Pulau Pinang jikalau negeri terbabit sedia membayar tuntutan caj bekalan air dan sebaliknya jika tidak mahu membayar.

Pada Sabtu, kerajaan Pulau Pinang meminta campur tangan KASA dalam perdebatan isu air antara Kedah dan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu susulan pengumuman Kedah untuk membangunkan TAPS yang bertujuan meningkatkan bekalan air sungai di negeri itu dan menstabilkan paras air di Sungai Muda ketika musim kemarau.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu air: Pulau Pinang mohon campur tangan kementerian

Kedah tidak gentar amaran Pulau Pinang

Projek TAPS: Pulau Pinang beri amaran kepada Kedah