Dua calon SPM lewat ke sekolah gara-gara LRT 'buat hal'

Guru penyelia bertindak mengambil dua calon SPM di stesen LRT.
Guru penyelia bertindak mengambil dua calon SPM di stesen LRT.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di St John’s Institution, Kuala Lumpur lewat tiba di sekolah gara-gara gangguan perjalanan melibatkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, pagi Khamis.

Pengetua St John’s Institution, T Sivakumar berkata, kedua-dua pelajar lelaki itu bagaimanapun sempat menduduki peperiksaan kertas Matematik mengikut masa ditetapkan selepas penyelia Tingkatan Lima bergegas membantu mereka.

"Pagi ini berlaku gangguan perjalanan LRT dan dua pelajar mengalami kelewatan hadir ke sekolah.

"Tindakan pantas Encik Hafizan selaku penyelia Tingkatan Lima yang pergi mengambil mereka di stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru dapat memastikan pelajar dapat menduduki kertas Matematik mengikut masa peperiksaan.

"Terima kasih Encik Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan SPM SJI," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pada pagi Khamis berikutan gangguan bekalan kuasa di Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.

Rapid KL menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif diaktifkan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!