Covid-19: Thailand sahkan kes pertama varian UK

Thailand mengesahkan kes Covid-19 tempatan pertama membabitkan varian B117 UK.
Thailand mengesahkan kes Covid-19 tempatan pertama membabitkan varian B117 UK.
A
A
A

BANGKOK - Thailand pada Rabu mengesahkan kes Covid-19 tempatan pertama membabitkan varian B117 UK.

Pakar virologi dari Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Poovorawan berkata, varian UK itu boleh merebak 1.7 kali lebih cepat berbanding virus tanpa mutasi.

"Varian baharu itu dikesan di kluster Thonglo (tempat hiburan) membabitkan 24 pesakit,” katanya pada taklimat di Kementerian Kesihatan Awam pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Saksayam Chidchob diuji positif Covid-19 pada Rabu sementara sekurang-kurangnya 10 menteri kabinet dan ahli Parlimen mula menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kes positif di Bangkok.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul yang menghadiri upacara keagamaan di wilayah Buriram antara yang menjalani kuarantin di rumah.

Saksayam, antara penerima dos pertama vaksin Covid-19 bulan lalu percaya beliau dijangkiti daripada seorang pegawai di pejabatnya.

Kini beliau menjalani rawatan di Hospital Buriram. Saksayam dijadual menerima dos kedua pada Rabu.

Sejak 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 334 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 29,905 dan 95 kematian setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha mempengerusikan mesyuarat kabinet maya berikutan kebanyakan anggota kabinet menjalani kuarantin kendiri.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, daripada 334 kes baharu, sejumlah 327 adalah penularan tempatan termasuk 174 melibatkan mereka yang mendapat rawatan di hospital dan 153 melalui pengesanan kes aktif. Tujuh kes import dilaporkan.

Katanya, Bangkok mencatatkan 216 kes baharu berkaitan dengan pusat hiburan.

Gelombang baharu wabak Covid-19 yang bermula pada Ahad kini merebak ke 27 wilayah. - Bernama