Kes Wang Kelian: Empat warga Thailand didakwa seludup migran

Empat lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar pada Jumaat atas kesalahan melakukan penyeludupan migran di Wang Kelian, Perlis pada 2015.
Empat lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar pada Jumaat atas kesalahan melakukan penyeludupan migran di Wang Kelian, Perlis pada 2015.
A
A
A

KANGAR - Empat lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, di sini pada Jumaat atas kesalahan melakukan penyeludupan migran di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh, Arun Kaeofainok, 30; Amree Nesalaeh, 58; Jehpa Lapi-E,56 dan Somphon A-Dam, 51 yang diekstradisi ke Malaysia selepas hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan hakim, Musyiri Peet.

Mengikut kertas pertuduhan, Amree didakwa melakukan penyeludupan warganegara Myanmar bernama Zedul Islam di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis antara Februari sehingga April 2013.

Tiga tertuduh lain pula didakwa melakukan penyeludupan migran warganegara Myanmar dikenali sebagai Mohd Belal di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis antara bulan Ogos 2014 sehingga 10 Mac 2015.

Kesemua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Negeri Perlis, Muhammad Asyraf Md Kamal, V V Suloshini dan Lee Jun Keong, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tiada wang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai depan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh antara 10 individu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan orang dan pertemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Untuk rekod, empat tertuduh itu merupakan individu diekstradisi dari Thailand melibatkan kes kubur besar Wang Kelian yang ditemui pada Mei 2015.

Sebanyak 139 kubur ditemui di 28 kem sementara berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang.

Kubur sama turut dijumpai di Thailand, melibatkan mangsa warganegara Myanmar dan Bangladesh