Bersatu dokong inisiatif SPRM perangi isu rasuah, salah guna kuasa

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa mendokong inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan negara bebas daripada budaya rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, budaya tersebut merupakan satu barah yang mampu merosakkan tadbir urus negara dan tindakan tegas perlu diambil segera kepada pelakunya.

“Saya ucapkan tahniah kepada SPRM atas tindakan yang diambil untuk membanteras sindiket memonopoli projek-projek kerajaan. Mengikut laporan media, sindiket ini membolot projek-projek yang bernilai sehingga RM3.8 bilion.

“Kejayaan SPRM kali ini membuktikan bahawa usaha kerajaan memerangi rasuah tidak pernah berhenti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Beliau berkata, pegawai SPRM juga wajar diberi pujian kerana masing-masing menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membersihkan gejala rasuah di negara.

“Justeru, saya harap SPRM akan terus mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka,” katanya.

Wan Saiful turut memuat naik artikel yang dilaporkan Astro Awani berhubung sindiket kartel projek bernilai RM3.8 bilion.

Menerusi laporan itu, tujuh individu terbabit direman enam hari bermula pada 5 April sehingga 10 April bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: