Gabungan tiga parti dalam PN jalan terbaik: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tetap berpendirian bahawa gabungan antara tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah jalan terbaik.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi Pas, asas pembentukan harus dilihat dalam kerangka semasa bukannya sebelum pembentukan kerajaan PN.

“Kalau kita sepakat membentuk kerajaan PN dan kita berjaya menumbangkan Pakatan Harapan (PH), kita tidak kisah pun soal kerusi yang lompat, kita gembira atas muafakat ini dan rakyat juga gembira. Kenapa kerjasama ini perlu dipisahkan?

“Kenapa kini kita hilang pertimbangan dengan melupai asas pembentukan Muafakat Nasional (MN) waktu kita jadi pembangkang dan tidak menghargai situasi kini yang kita dapat bentuk kerajaan bersama.

“Apakah dua parti lebih baik dari tiga kerana mendapat lebih banyak kerusi untuk bertanding, lalu kita berangan-angan akan menang?” Soalnya di halaman Facebooknya pada Jumaat.

Pada 26 Februari lalu, satu surat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu bila parlimen dibubarkan.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan tersebut seolah-olah tiada titik pemulangan bagi UMNO.

“UMNO membuat keputusan kekal dalam gabungan BN. Usaha untuk mendaftarkan MN gagal kerana nama MN telah ada pihak yang terlebih dahulu didaftarkan.

Artikel Berkaitan:

“UMNO telah lebih awal membuat keputusan untuk menggunakan lambang BN dalam PRU akan datang, manakala Pas masih mengkaji kesesuaian logo. Parti akan membuat keputusan setelah mendapat panduan Majlis Syura nanti,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, politik ialah usaha untuk memperbanyakkan kawan dan mengurangkan musuh namun dalam apa jua muafakat politik, kerusi menjadi persaingan.

“Namun kaedah persepakatan ialah yang ada jangan kedekut, yang minta jangan tamak. Ada waktu kita kena korban apa kita sayang untuk elak mudarat lebih besar,” katanya.