Selangor pelawa pemandu teksi sertai SELDEC untuk tambah pendapatan

Amirudin memberikan bakul makanan kepada pemandu teksi di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada Khamis.
Amirudin memberikan bakul makanan kepada pemandu teksi di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menggalakkan pemandu teksi menjalankan perkhidmatan e-hailing atau penghantaran makanan di bawah Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC) dengan bantuan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) bagi menambah sumber pendapatan.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, inisiatif tersebut susulan pelaksanaan e-bazar dan e-kitchen oleh kerajaan negeri pada tahun lalu bagi membantu peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, Hijrah Selangor akan melatih golongan tersebut menggunakan gajet yang diberikan bagi membolehkan mereka mengambil pesanan di kawasan sekitar mereka dalam radius dua kilometer.

“Saya fikir selain memberi bantuan kepada pemandu teksi ini, elok jika saya serap mereka untuk terlibat dalam perniagaan dalam talian, terutama dalam perkhidmatan e-hailing iaitu penghantaran makanan.

“Saya yakin dengan program keusahawanan di bawah kerajaan negeri kerana kita sudah mencipta satu ekosistem. Jadi kita berani untuk memberi mereka maklumat berkenaan bantuan yang ditawarkan,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Pengagihan Bakul Makanan kepada Pemandu Teksi dan Bas Sekolah di bawah Program Bingkisan Mesra Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Khamis.

Sementara itu, Rodziah menggesa golongan tersebut supaya tidak membataskan keupayaan diri untuk mencari rezeki tambahan akibat beban yang ditanggung.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu membataskan bantuan kerajaan negeri kepada pemberian wang secara sekali bayar sahaja, tetapi komited ingin mengubah hidup mereka.

“Mereka mempunyai kereta dan mahir dalam mengenal pasti kawasan. Jadi lebih baik mereka menambah pekerjaan baharu iaitu membuat servis penghantaran makanan selain daripada mengambil dan menghantar penumpang.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan syorkan pemandu-pemandu teksi untuk menyertai program di bawah Hijrah Selangor kerana data sudah ada. Kita akan selesaikan semua permohonan sebelum menjelang Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Pelancaran Pengagihan Bakul Makanan Kepada Pemandu Teksi dan Bas Sekolah di bawah Program Bingkisan Mesra Selangor yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis itu menyaksikan serahan bakul makanan secara pandu lalu kepada 34 pemandu teksi dan bas sekolah sebagai simbolik penyerahan.

Sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak sebagai pelaksana bagi kerajaan negeri untuk mengagihkan bakul makanan kepada sekitar 7,900 penerima manfaat daripada kalangan pemandu teksi dan bas sekolah di Selangor.

Fasa pertama agihan akan bermula pada 3 hingga 8 April ini meliputi kawasan sekitar Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Diikuti dengan Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang bermula pada 9 April sehingga 11 April depan.