Tiada wang rakyat digunakan sembarangan, kata MB Kedah

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) memotong pulut kuning bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM di Auditorium Kedahfm pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) memotong pulut kuning bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM di Auditorium Kedahfm pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada wang rakyat digunakan tanpa tujuan dari Kumpulan Wang Disatukan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi juga memberi jaminan bahawa wang rakyat digunakan sebaiknya untuk keperluan dan faedah rakyat di Kedah.

Katanya, kebenaran menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah bermakna menteri besar boleh menggunakan wang berkaitan sewenang-wenang dan tanpa tujuan ketika tempoh darurat kerana ada peraturan kewangan yang tetap berjalan.

"Disebabkan persidangan tidak dapat dijalankan, maka kuasa itu diperturunkan Yang di-Pertuan Agong kepada menteri besar namun ia masih terikat dengan undang-undang apabila ordinan berkenaan diwartakan pada Rabu.

"Peraturan kewangan sangat ketat, ada audit luar, audit dalam, ada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang perlu mengikut prosedur tertentu," katanya selepas Sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM di Auditorium Kedahfm, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna Kedah, Wan Romani Wan Salim; Pengarah Penyiaran Kedah, Sharimah Abu Bakar; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengurus Besar Pos Malaysia Kedah, Yushaini Yusoff.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, anggaran pendapatan dan perbelanjaan yang akan digunakan disenaraikan dalam Belanjawan 2021 dan dinyatakan dalam sidang DUN.

"Bagaimanapun dalam mengharungi tahun 2021 kita tidak dapat menjangka perkara yang akan berlaku ketika berdepan Covid-19 yang memerlukan dana tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu mencari duit tambahan dan membelanjakan untuk perkara yang tidak dapat dijangka ketika meluluskan belanjawan pada November, namun darurat menyebabkan satu ordinan diputuskan yang memberi kuasa untuk berbelanja ikut keperluan namun bukan tujuan sembarangan," katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada keperluan untuk Kedah buat masa ini untuk dana tambahan berkenaan.

Dalam perkembangan sama katanya, Kedah meluluskan pembayaran pendahuluan elaun untuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh Kedah selama empat bulan disebabkan kerajaan Pusat belum membuat bayaran untuk tempoh itu.

"Jadi, kita mendahulukan wang kepada kerajaan negeri membayar elaun selama empat bulan untuk mereka menyambut Ramadan tidak lama lagi melibatkan peruntukan RM2.4 juta yang akan diganti balik bagi membolehkan JPKK berfungsi untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Pada Rabu, perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri diberi kuasa meluluskan perbelanjaan tambahan ataupun menggunakan Kumpulan Wang Disatukan ketika tempoh darurat.

Kelulusan berkenaan membolehkan ketua kerajaan dan ketua kerajaan negeri menambah perbelanjaan ataupun menggunakan wang Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ordinan baharu benar guna dana tanpa kelulusan Dewan Rakyat, DUN