Polis beri kebenaran Neelofa ke Langkawi atas urusan kerja

Antara gambar tular menunjukkan Neelofa dan suami berada di Langkawi.
Antara gambar tular menunjukkan Neelofa dan suami berada di Langkawi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Daerah Brickfields mengesahkan memberikan kebenaran kepada selebriti Neelofa dan tiga yang lain untuk ke Pulau Langkawi, atas urusan kerja dan bukannya untuk berbulan madu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, ia berdasarkan permohonan yang dibuat oleh wakil sebuah syarikat produk minuman di Balai Polis Sri Hartamas di sini.

"Kita mendapati tujuan utama Neelofa dan wakil syarikat terbabit bersama dua yang lain adalah atas urusan kerja bersama pihak Chatime Malaysia.

"Dalam permohonan itu mereka dibenarkan bergerak ke lokasi itu atas tujuan tersebut bermula 27 Mac hingga 4 April ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Basri berkata, hasil semakan pada borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditandatangani oleh Ketua Polis Balai Polis Sri Hartamas, mendapati sebab-sebab pergerakan keluar empat individu itu adalah untuk urusan kerja.

"Malah syarikat terbabit turut mengeluarkan surat memaklumkan nama Neelofa dan tiga yang lain berserta nombor kad pengenalan sebagai mewakili mereka untuk melawat kawasan Chatime yang akan dibuka," katanya.

Basri berkata, berdasarkan jadual pergerakan mereka, lokasi yang akan dituju oleh empat individu terbabit termasuk Neelofa adalah Langkawi, Sungai Petani, dan Kangar, Perlis.

"Berdasarkan lampiran surat permohonan, mereka dijadualkan tiba di Langkawi pada 29 Mac, dan akan berada di sana sehingga 2 April sebelum melawat ke cawangan Chatime di Sungai Petani dan Kangar pada 3 April.

Artikel Berkaitan:

"Saya menegaskan kebenaran permohonan yang dikeluarkan oleh Balai Polis Sri Hartamas adalah atas urusan kerja dan bukan untuk tujuan berbulan madu.

"Sekiranya terbukti kehadiran Neelofa ke Langkawi untuk tujuan berbulan madu, maka pihak polis di sana boleh mengambil tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.