Covid-19: 941 kes baharu, terendah setakat tahun ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Buat julung kalinya, kes harian positif Covid-19 di seluruh negara merekodkan penurunan terendah sejak Januari lalu iaitu 941 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 342,885 kes.

"Jumlah kes aktif pula adalah 14,219 kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, daripada 941 kes dilaporkan terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 933 kes tempatan.

"Kes dirawat di unit rawatan rapi adalah 166 termasuk 73 yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lima kes kematian Covid-19 membabitkan empat rakyat tempatan dan seorang warga asing.

"Jumlah kes kematian adalah 1,260," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,097 kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 327,406 kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jangkitan dalam negara, beliau berkata, Selangor melaporkan kes tertinggi iaitu dengan 219 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 175 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, Sarawak melaporkan 192 kes dan diikuti Johor (171), Kuala Lumpur (57), Kelantan (49), Sabah (34), Kedah (13), Melaka (lapan), Pahang (lima), Perak (lima) dan Terengganu (empat).

Beliau berkata, Labuan dan Putrajaya masing-masing merekodkan satu kes manakala tiada sebarang kes dilaporkan di Perlis.

Tambahnya, sebanyak 63 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara.

"Kluster Pagar Bukit Chagar (60) dan masing-masing satu kes dikesan dalam Kluster Penjara Harapan, Kluster Tembok Pengkalan Chepa serta Kluster Tembok Taiping.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kluster baharu dilaporkan membabitkan dua kluster tempat kerja iaitu Kluster Seksyen 16 yang dikesan di Hulu Langat, Selangor dan Kluster Jalan Azlan Kuala Lumpur.

"Kluster Taman Vistagro di Sri Aman, Sarawak dikenalpasti sebagai kluster komuniti," katanya