Mek Bersia, anak selamat dipindahkan

Anak gajah diberi nama Awang Sira turut dipindahkan dalam operasi itu.
Anak gajah diberi nama Awang Sira turut dipindahkan dalam operasi itu.
A
A
A

GERIK - Seekor ibu gajah dan anaknya berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum dalam operasi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Felda Bersia di sini pada Sabtu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, gajah betina diberi nama Mek Bersia berusia 30 tahun dengan berat dua tan dan Awang Sira seberat 250 kilogram ditangkap Isnin lalu selepas menerima aduan daripada penduduk kampung.

"Gajah ini menjadikan Hutan Simpan Temengor sebagai kawasan keliaran dan telah turun ke kawasan kampung untuk mencari makan.

"Kehadiran gajah itu telah mendatangkan ketakutan kepada penduduk untuk ke kebun selain merosakkan tanaman penduduk seperti getah dan kelapa sawit," katanya.

Proses pemindahan yang bermula pada jam 9 pagi itu turut mendapat bantuan daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang, membabitkan 20 pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua jabatan itu.

Khidmat dua ekor gajah denak yang diberi nama Abot dan Rambai digunakan bagi membantu dalam operasi itu.

Yusoff berkata, haiwan itu merupakan gajah liar daripada ID Kumpulan Temengor yang dianggarkan 25 hingga 30 ekor.

"Kumpulan gajah ini menimbulkan konflik dikawasan FELDA Bersia, Kampung Sira Panas, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun dan Kemar serta Lebuhraya Timur-Barat.

Artikel Berkaitan:

"Gajah ini merupakan gajah kedua yang ditangkap oleh Unit Tangkapan Gajah Perak di kawasan ini bagi tempoh lima tahun terkini," katanya.