RISDA bantu 300 pelajar UCAM

Mohd Salim (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian penerima dan tetamu yang hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat RISDA Kepada Pelajar UCAM di Ayer Paabas, Alor Gajah pada Isnin.
Mohd Salim (empat dari kanan) bergambar bersama sebahagian penerima dan tetamu yang hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat RISDA Kepada Pelajar UCAM di Ayer Paabas, Alor Gajah pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Yayasan RISDA (YR) dan RISDA Ventures Sdn Bnd (RVSB) memperuntukkan RM100,000 untuk membantu lebih 300 pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) bagi memastikan kebajikan mereka terjamin dan terbela.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pelajar menerima zakat hasil keuntungan yang diperoleh dari ladang di seluruh negara yang diuruskan RISDA Estates Sdn Bhd.

Menurut Mohd Salim, seramai 104 pelajar yang terdiri daripada anak-anak komuniti RISDA layak menerima sumbangan RM250 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM27,000.

“Selain itu, tiga pelajar terpilih menerima Skim Subsidi Makanan Pelajar UCAM bernilai RM450 seorang daripada Yayasan RISDA bagi menampung perbelanjaan makan minum sepanjang semester ini.

“Keuntungan ladang RISDA dan Syarikat Milikan RISDA (SMR) yang diperoleh itu dipulangkan semula kepada komunitinya seperti pelajar UCAM yang terdiri daripada anak-anak pekebun kecil dan komuniti RISDA,” katanya.

Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.
Mohd Salim (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat RISDA kepada pelajar UCAM di Ayer Paabas di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi RVSB, Datuk Shaharuddin Muhammad Sidek; Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad; Caretaker Yayasan RISDA, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif RVSB, Abd Rahman Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif UCAM, Faizatul Akmar Datuk Hisan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Salim berkata, RVSB turut menyampaikan sumbangan RM500 secara one off kepada 45 pelajar asnaf manakala seramai 175 pelajar UCAM daripada kategori fisabilillah menikmati bantuan sebanyak RM200 seorang membabitkan jumlah RM57,500.

Beliau berharap, semua SMR akan terus menggembleng sumber dan potensi sebaik mungkin dengan menyasarkan untuk menjana keuntungan sebelum cukai berjumlah RM248 juta dapat dicapai tahun ini.

“Saya berharap keuntungan yang terhasil ini akan meningkatkan sumbangan SMR dalam bentuk zakat atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberikan banyak manfaat kepada komuniti RISDA,” katanya.

Mohd Salim (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Mohd Salim (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Ringankan beban pelajar

Sementara itu, penerima sumbangan berterima kasih kepada Yayasan RISDA dan RVSB di atas bantuan kewangan yang diberikan.

Penuntut UCAM, Muhammad Basyar Husaimi, 23, berkata, sumbangan itu dapat meringankan bebanan ibunya, Khadijah Ahmad untuk membiayai pengajiannya.

Menurut Muhammad Basyar, ibunya yang berstatus ibu tunggal hanya menyara mereka sekeluarga dengan mengambil upah menjahit di Kampung Padang Lalang Kati, Kuala Kangsar, Perak sejak berpisah dengan bapanya beberapa tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur. Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya terharu kerana masih ada yang prihatin terhadap keadaan kami.

“Terima kasih kepada RISDA kerana sudi membantu saya,” katanya.

Tiga penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat RISDA Kepada Pelajar UCAM di Ayer Paabas.
Tiga penerima sumbangan pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat RISDA Kepada Pelajar UCAM di Ayer Paabas.

Bagi penerima Skim Subsidi Makanan bernilai RM450, Muhammad Hanif Shahrin, 23, bantuan yang diperoleh itu akan dijadikan sebagai penyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh di UCAM.

Menurut Muhammad Hanif, bapanya Shahrin Yaakob, 57, mengambil upah sebagai penoreh getah di kebun orang lain di Kampung Haji Safar Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah untuk menyara keluarga.

“Adakalanya sukar untuk memberikan wang perbelanjaan kepada saya.

“Terima kasih kepada UCAM dan RISDA. Saya akan gunakan wang ini untuk hal penting dan tidak akan membazir,” katanya.

Sebahagian pelajar yang hadir menerima sumbangan pada majlis itu.
Sebahagian pelajar yang hadir menerima sumbangan pada majlis itu.