Pencemaran: Syarikat bekalan air dapat ganti rugi RM100,000

Mahkamah Rayuan memberikan pampasan RM100,000 kepada SAJ Ranhill dalam saman kecuaian yang difailkan syarikat bekalan air itu terhadap dua pengendali tapak pelupusan sampah.
Mahkamah Rayuan memberikan pampasan RM100,000 kepada SAJ Ranhill dalam saman kecuaian yang difailkan syarikat bekalan air itu terhadap dua pengendali tapak pelupusan sampah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan telah memberikan pampasan sebanyak RM100,000 kepada SAJ Ranhill Sdn Bhd dalam saman kecuaian yang difailkan oleh syarikat bekalan air itu terhadap dua pengendali tapak pelupusan sampah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan SAJ Ranhill, pengendali loji rawatan air di Simpang Renggam, Kluang, Johor untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak samannya pada 2021.

Dalam penghakiman bertulis setebal 28 muka surat bertarikh 19 Mei lepas, Mee Chun berkata, mahkamah mendapati SWM Greentech Sdn Bhd dan SWM Environment Sdn Bhd bertanggungjawab atas kecuaian dan memerintahkan kedua-dua syarikat membayar pampasan kepada SAJ Ranhill.

SAJ Ranhill Sdn Bhd telah menyaman kedua-dua syarikat dengan mendakwa ia mengalami kerugian selepas loji rawatan air kendaliannya terpaksa sebanyak lapan kali antara 2016 dan 2018 susulan insiden kebocoran efluen yang tidak dirawat serta bahan larut resap yang berasal dari tapak pelupusan.

Tumpahan itu telah menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Benut di mana SAJ Ranhill mengekstrak air mentah sebelum merawatnya di loji rawatan air kendalian syarikat itu sebelum disalur kepada pengguna di Johor.

Mee Chun berkata, pakar yang dikemukakan oleh SAJ Ranhill sebagai saksi iaitu Dr Maketab Mohamed telah memberi keterangan bahawa punca pencemaran ammonia di Sungai Benut pada tarikh penutupan loji rawatan air adalah disebabkan oleh limpahan bahan larut resap dari tapak pelupusan.

Beliau berkata, keterangan Dr Maketab mengenai tumpahan bahan larut resap dari tapak pelupusan yang membawa kepada pencemaran ammonia disokong oleh keterangan Pengarah Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) Mohd Riduan Mohd Ali yang ke lokasi terbabit untuk menentukan punca pencemaran itu.

Katanya, kedua-dua syarikat melalui surat peguam masing-masing bertarikh 27 April 2018 telah mengaku menyebabkan tumpahan bahan larut resap ke Sungai Benut pada November 2016 serta beberapa kes pada 2017 dan awal 2018.

Menerusi saman itu, SAJ Ranhill menuntut pampasan lebih RM1.6 juta bagi penutupan loji rawatan air kendaliannya termasuk kerugian ekonomi tulen.

Bagaimanapun, Mee Chun berkata, mahkamah hanya memberikan ganti rugi nominal RM100,000 sebagai pampasan kepada syarikat itu serta kos guaman RM100,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. - Bernama