'Saya tidak mahu budaya 'The Blue Code Of Silent' dalam PDRM'

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A
SHAH ALAM - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak mahu budaya 'The Blue Code Of Silent' merebak dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, budaya berkenaan pernah berlaku di Amerika Syarikat iaitu kesalahan akan ditutup sekiranya kes melibatkan anggota polis.

"Kalau di sana (Amerika) ia digelar 'The Blue Code Of Silent' bermakna kalau polis sama polis melakukan kesalahan, tutup kes masuk bawah karpet usah dihebahkan nanti kononnya hilang taring.

"Saya tak mahu budaya sebegini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin ketika mengulas mengenai pendedahannya mengenai kartel dalam PDRM dan gerakan dalaman pegawai muda yang mahu menjatuhkan beliau.

Abdul Hamid berkata, beliau telah memberi perakuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan akan berjumpa dengannya dalam masa terdekat untuk membincangkan isu terbabit.

Katanya, isu itu masih di bawah kawalan dan terpulang kepada Hamzah sama ada perlu diangkat ke Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) atau tidak.

Tambahnya, kartel yang beliau maksudkan bukanlah seperti kartel Colombia dan Mexico sebaliknya membabitkan kumpulan pegawai yang masih tidak insaf dan berfikiran di takuk lama yang cuba memperkasakan diri dan pasukan mereka.

"Saya tahu mereka membuat perancangan berjumpa sesama sendiri. Kerja hakiki tidak buat tapi sibuk ke sana ke mari. Pemikiran tahap lama.

"Suatu hari bila dia memimpin pasukan orang seperti ini akan guna selera mereka untuk urus pasukan. Saya dah katakan banyak kali ada 10 jabatan dalam PDRM dan kita bekerja sebagai satu pasukan. Tidak ada 'team' saya, orang bekas Ketua Polis Negara...orang pengarah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Tukar minda itu. PDRM ada tanggungjawab dan saya pegang amanah sebagai ketua. Sekiranya saya gagal saya tanggung dosa," katanya.

Jelas Abdul Hamid, tidak ada sebab beliau mahu mengaibkan sesiapa.

"Saya minta maaf secara terbuka kepada menteri (Hamzah) dan anggap perkara ini sebagai perkara dalaman dan saya berhak berkongsi berita kepada orang ramai. Saya tidak mahu uniform biru ini diguna untuk ugut orang," katanya.

Tegasnya, beliau yakin kegiatan pegawai tidak bertanggungjawab itu dapat ditangani dan mahu pihak yang mengkritik tindakan beliau mendedahkan perkara itu supaya sedar dan bermuhasabah diri.

"PDRM bukan saya punya. Saya sebagai Ketua Polis Negara mesti meyakinkan kerajaan untuk memimpin PDRM ke jalan betul. Perkara tidak baik minta diputuskan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] 'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'

Kartel cuba singkir KPN dapatkan bantuan pihak luar

Abdul Hamid perlu lapor dakwaan wujud gerakan dalaman polis kepada SPP