Koperasi setanding dunia korporat

Bordin
Bordin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 bakal mengangkat koperasi sebagai sebuah badan strategik bagi memenuhi matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh yakin koperasi mampu memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah jurang ekonomi khususnya dalam kalangan golongan B40 di negara ini.

Menurut beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada kedudukan koperasi yang masih relevan meskipun menjelang 100 tahun penubuhannya pada tahun hadapan sebagai badan yang fungsinya seiring dengan peredaran zaman.

“Kepincangan ekonomi dan masa depan kemakmuran negara, kalau dibandingkan dengan pandemik Covid-19 adalah terlalu besar untuk kita hadapi. Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM320 bilion bagi menghadapi Covid-19.

“Kita mahu meletakkan koperasi atas landasannya. Apabila berada di landasan yang tepat, kami yakin koperasi akan menjadi sebuah gerakan paling strategik yang mampu membantu menyelesaikan masalah besar negara,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian pada Khamis.

Nordin berkata, TransKoM 2021-2025 dijangka dirasmikan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Mac ini.

Nordin menyifatkan gerakan bagi mengangkat ekonomi Bumiputera yang diwujudkan melalui beberapa dasar selama ini gagal melahirkan ‘juara’ ekonomi menyebabkan beliau bercita-cita menjadikan koperasi sebagai juara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peranan yang boleh dimainkan koperasi begitu relevan dalam usaha mencapai hasrat WKB 2030.

Katanya, terdapat lebih enam juta anggota koperasi di seluruh negara, majoritinya terdiri daripada golongan B40 yang perlu dibantu untuk menyelesaikan masalah jurang ekonomi dihadapi.

“Apabila masalah mereka selesai, maka sebahagian besar masalah jurang ekonomi ini akan selesai. Koperasi adalah sebagai strateginya, pelurunya dan senjatanya kepada penyelesaian masalah atau sebagai the silver bullet.

“Sepatutnya jika negara melihat masalah enam juta (anggota) ini, sebahagian besar daripada RM320 bilion itu disalurkan kepada mereka. Namun, ia tidak berlaku kerana perkara itu tidak sampai seolah-olah tiada kelayakan,” ujar beliau.

Menurut Nordin, menjelang 100 tahun penubuhan koperasi, beliau tidak mahu lagi badan itu terperangkap dalam persepsi sebagai kampung, tua dan kaku tanpa hala tuju yang jelas.

Beliau berkata, koperasi telah berjaya merentasi zaman dan dibuktikan dengan penekanan matlamat ‘dari kampung ke alam maya’.

Malah, katanya, pelancaran countdown telah dilaksanakan tahun lalu menjelang 100 tahun penubuhan koperasi tahun hadapan.

“Koperasi sentiasa relevan dalam masyarakat dan sudah tentu ia bergantung kepada zaman itu sendiri.

“Pada mula ditubuhkan, fungsi dan matlamat koperasi agak terhad dan sempit. Ia ditujukan untuk mengatasi isu berkaitan kemiskinan petani dan hutang kakitangan kerajaan sahaja.

“Semua ini telah dilaksanakan. Jadi dalam perjalanan panjang ini, fungsi koperasi telah berubah dan sudah jauh dari permulaannya,” kata beliau.

Menurut Nordin, koperasi tidak lagi mengguna pakai dasar dan aktiviti lapuk tetapi bakal diletakkan ke tahap yang lebih tinggi iaitu setaraf dunia perniagaan korporat.Pelaburan berimpak tinggi

Katanya, perniagaan korporat akan membawa gerakan koperasi ke dunia baharu yang membolehkannya bersaing dalam ekonomi negara.

“Kita mahu melabur dalam syarikat tersenarai di bursa, masuk tender besar yang selama ini koperasi tidak dipandang. Kita perlu masuk dalam bidang yang besar dan berimpak tinggi.

“Seperti yang pernah disebut Perdana Menteri, peranan koperasi sudah berubah.

“Kita mahu tebus kedudukan ini. Apa yang kita mahu kejar adalah kepentingan dalam ekonomi nasional yang memerlukan kemahiran dan skop yang lebih besar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, segala bentuk perubahan yang mahu dibuat oleh koperasi sukar direalisasikan tanpa sokongan pemegang taruh.

“TransKoM 2021-2025 yang akan dilancarkan ini hanya boleh berjaya sekiranya pemegang taruh iaitu pembuat dasar dan rakyat seluruhnya memahami, menghayati dan memberi sokongan yang sewajarnya kepada gerakan koperasi di negara ini,” katanya.