X

Kindly register in order to view this article
!

Empat syarikat tidak dibenarkan beli tanah di Pahang

Samara Abdul Wahab, 53, menerima replika kunci daripada Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, pada Sabtu.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang tidak akan menjual dan memproses permohonan pembelian tanah baharu kepada empat pemaju perumahan yang dikenalpasti susulan kegagalan memajukan tanah yang dibeli.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu di buat bagi mengelakkan kerugian berterusan yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri.

"Kita sudah memberikan tanah kepada pemaju tetapi tidak dibangunkan tanpa sebarang projek dan menyebabkan kerajaan dan rakyat menanggung kerugian.

"Jadi kita memutuskan untuk tidak menjual atau menawarkan tanah baharu selagi mereka tidak memajukan tanah- yang mereka beli sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri dan merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Rahim Muda dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Projek dibangunkan syarikat pemaju Connection Ventures Sdn Bhd itu diluluskan pada tahun 2013 dan merangkumi dua fasa dengan jumlah keseluruhan 203 unit yang dijual pada harga antara RM150,000 hingga RM200,000.

Wan Rosdy (tengah) bersama penerima rumah PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, pada Sabtu.
Wan Rosdy (tengah) bersama penerima rumah PR1MA pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang di Perumahan Makmur Gambang Jaya 2, pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, kebanyakan syarikat ketika mengemukakan permohonan pembelian tanah menggunakan pelbagai alasan termasuk melaksanakan projek perumahan.

Bagaimanapun selepas tempoh tertentu, tiada sebarang kerja dilakukan dan tanah berkenaan tidak dimajukan.

"Kita amat kesal dengan perbuatan itu," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sebanyak 31 projek PR1MA Pahang telah dibatalkan kerana didapati melanggar syarat.

Katanya, pembatalan itu dibuat selepas mengambil kira semua aspek dan mendapati pemaju tidak berupaya meneruskan projek perumahan terbabit.

Menurutnya, mana-mana projek yang telah dibatalkan itu akan ditawarkan semula kepada pemaju lain supaya rakyat mendapat manfaat daripada PR1MA Pahang.

"Kita terpaksa menawarkan kepada pemaju baharu yang berminat bagi memastikan usaha kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat Pahang dapat dilaksanakan.

"Kalau tidak kita akan berdepan dengan satu lagi pembaziran," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!