'Komplot jatuhkan Kerajaan Perpaduan tak akan berjaya' - PM

Anwar ektika berucap semasa Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 BSMM yang disempurnakan yang berlangsung di Dewan Perdana Bulan Sabit Merah pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Anwar ektika berucap semasa Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 BSMM yang disempurnakan yang berlangsung di Dewan Perdana Bulan Sabit Merah pada Jumaat. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau turut melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya.

“Sekiranya Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti yang mencukupi, gabungan itu boleh membawanya ke sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Kalau dia ada (majoriti mencukupi), tunggu masa Parlimen. Usul (tentang mempunyai majoriti itu) di Parlimen, tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa wujudnya SD yang mencukupi bagi membolehkan PN membentuk kerajaan.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun turut menyindir dakwaan yang dibuat itu sambil menyatakan perkara itu sebagai 'mengigau mingguan'.

“Jadi macam mengigau mingguan. Sebelum puasa, sebelum raya, selepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

“Tapi Insya-Allah Kerajaan Perpaduan ini kekal sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM, Anwar mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 juta kepada organisasi itu.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi BBSM Kebangsaan, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta disalurkan kepada BSMM dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“RM1 juta diperuntukkan dari Agensi Pengurusan Bencana Nagara (Nadma) khusus untuk kerja-kerja kebajikan dan usaha di lapangan luar serta dalam negara.

“Untuk memastikan penyelenggaraan, pengurusan di ibu pejabat, negeri-negeri itu lebih mantap, saya setuju menambah RM1 juta lagi,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!